Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan menegaskan keperluan untuk melakukan transformasi dan islah dalam penghasilan buku agama bagi mendepani cabaran era pascanormal yang semakin kompleks dan mencabar.
Menurut beliau, seperti yang dinyatakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dunia kini berada dalam fasa pascanormal yang menuntut pendekatan baharu dalam pelbagai aspek kehidupan termasuklah bidang penulisan dan penerbitan buku agama.
“Buku agama perlu terus mengekalkan tradisi keilmuan Islam yang tulen, namun pada masa yang sama perlu berani memperkenalkan dimensi baharu yang lebih segar dan relevan.
“Kita memerlukan buku yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi mampu menyentuh nadi masyarakat,” ujar beliau ketika berucap dalam Multaqa Sarjana Islam di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.
YB Senator Dr. Zulkifli turut mencadangkan supaya kandungan buku agama diperkaya dengan data dan fakta daripada pelbagai sumber seperti al-Quran, hadis serta dapatan saintifik semasa.
Jelas beliau, pendekatan ini dilihat dapat mengukuhkan kefahaman agama, meningkatkan penghayatan, dan membolehkan masyarakat mengaitkan ajaran Islam dengan realiti kehidupan seharian.
Pada masa yang sama, beliau turut menyeru agar sarjana Islam, ahli akademik, agensi, institusi pengajian tinggi dan pihak penerbit menggiatkan usaha untuk meningkatkan penerbitan buku agama yang mampu memandu pemikiran rakyat.
“Penerbitan sebegini penting bagi memastikan pemikiran wasatiyah menjadi arus perdana serta mampu menangkis fahaman yang melampau atau ekstrem dalam masyarakat,” ujarnya.