Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 09:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperkenalkan pelaksanaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) secara elektronik (e-Cert) bermula pada 5 Mei 2025.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, inisiatif tersebut selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam dalam usaha menyumbang peningkatan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Semua permohonan SPHM yang diluluskan dalam Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia peringkat JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) pada atau selepas 5 Mei 2025 akan diproses secara elektronik (e-Cert),” katanya dalam suatu kenyataan, semalam.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pemohon yang mendapat pengesahan halal, kini boleh mencetak sendiri SPHM melalui sistem MYeHALAL.

Walau bagaimanapun, jelas beliau lagi, sekiranya pihak syarikat masih memerlukan SPHM dalam bentuk fizikal yang dicetak dan disahkan oleh JAKIM, MAIN atau JAIN, permohonan rasmi hendaklah dikemukakan melalui surat rasmi.

“Segala urusan percetakan sijil secara fizikal dikategorikan sebagai Cetakan Semula SPHM dan akan dikenakan bayaran selaras dengan Klausa 13, Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa pihaknya terus menzahirkan komitmen melalui sokongan terhadap inisiatif digitalisasi selaras dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, seterusnya mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

“JAKIM sentiasa komited dalam usaha memastikan nilai daya cipta, iaitu pembaharuan dan pengupayaan modal insan yang terkandung dalam teras Malaysia MADANI dapat direalisasikan meliputi urusan pensijilan halal,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi