Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan menyambut baik hasrat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menjadi Hab Penerbitan Buku Agama dan menyarankan pelaksanaan beberapa langkah strategik bagi merealisasikan matlamat tersebut.
Perkara tersebut disampaikan oleh beliau menerusi ucapannya dalam Multaqa Sarjana Islam anjuran Bahagian Buku Umum DBP yang berlangsung di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, pada petang tadi.
YB Senator Dr. Zulkifli menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada DBP atas komitmen berterusan untuk menjalankan peranannya dalam bidang penerbitan sehingga melakukan inisiatif dengan menawarkan diri sebagai peneraju Hab Penerbitan Buku Agama bersama-sama agensi lain.
Beliau berkata, “Saya difahamkan Hab Penerbitan Buku Agama ini merupakan gagasan yang bertujuan untuk menjadi penggerak kepada para sarjana dan cendekiawan bidang agama agar dapat menghasilkan karya yang bermutu tinggi dan dapat memenuhi keperluan masyarakat Islam khususnya di negara kita.”
“Langkah ini penting memandangkan buku agama berperanan sebagai tunjang ilmu dan pemikiran yang bertamadun tinggi,” ujar beliau di hadapan hadirin yang terdiri daripada sarjana Islam, ahli akademik, wakil institusi kerajaan dan institusi pengajian tinggi, serta wakil penerbit.
Beliau menyifatkan bahawa sesebuah institusi memainkan peranan penting memandangkan ketamadunan Islam sejak dahulu lagi diterajui oleh institusi sebagai pencetus keilmuan dan asas kepada pembinaan tamadun yang unggul.
Menurut beliau, DBP tidak bergerak bersendirian dalam usaha ini kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif, antaranya termasuklah pengecualian cukai, Program Residensi Penulis Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, Dana Penggerak Industri Buku Negara dan Baucar Buku MADANI.

Bagi merealisasikan hasrat DBP untuk menjadi Hab Penerbitan Buku Agama, beliau menyarankan agar DBP menggiatkan aktiviti penghasilan karya dalam bidang agama pada peringkat institusi pengajian tinggi, jabatan dan agensi kerajaan, di samping mewujudkan inisiatif sebagai pengiktirafan kepada penulis karya.
“Kegiatan penghasilan karya perlu dirangka dengan teliti supaya tidak berlaku lambakan, pengurangan kualiti dan pengulangan bahan yang berkaitan dengan bidang agama,” tambah beliau.
Beliau juga menyarankan agar penilaian bagi setiap manuskrip agama dilakukan secara teliti dan telus.
“Hal ini penting memandangkan banyak buku agama yang berada di pasaran tidak melalui proses penerbitan yang baik apabila berlaku banyak kesilapan, termasuklah fakta yang tidak tepat yang boleh membawa kepada pemahaman dan penghayatan agama yang tidak tepat,” jelasnya.
“Saya mendoakan agar usaha pertemuan pada hari ini menjadi pencetus kepada suatu gerakan yang akan dapat membina naratif pemikiran orang Islam di Malaysia yang lebih progresif dan madani,” ujarnya.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Mufti Johor, Sahibus Samahah YB Dato’ Haji Ahmad Faisal Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin; serta Ketua Jabatan dan Ketua Bahagian DBP.