Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tafaqquh fi al-din, iaitu kefahaman agama yang sebenar merupakan perkara asas dalam pembinaan kekuatan umat Islam dan negara MADANI.
Menurut beliau, kemelut malaise (kelesuan) menjadi cabaran umat Islam terhadap keupayaan untuk menguasai, menggali dan menjadikan al-Quran sebagai pedoman ke arah pembinaan kesatuan dan kekuatan daripada al-din (agama) kepada tamadun dalam negara MADANI.
“Tujuan kita menyebarkan, menghidupkan budaya pembacaan dan hafazan al-Quran tentunya dalam kerangka menggali, mempelajari dan menjadikannya sebagai pedoman, iaitu setelah tafaqquh fi al-din dituntut untuk menghayatinya (secara menyeluruh)” ujar beliau ketika merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M di Dewan 2020, semalam.
Selain itu, beliau menekankan bahawa kekuatan tamadun bermula daripada penghayatan ilmu di pusat kota, berkembang ke seluruh negeri, lalu membina negara yang berteraskan dasar ilmu yang kukuh serta dihayati sepenuhnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa dalam proses tafaqquh fi al-din, umat Islam harus berhati-hati agar tidak terjebak dalam bibit permusuhan dan perpecahan.
Negara harus terangkat dengan nilai.
“Oleh sebab itu, dalam usaha memperkenalkan dan meningkatkan kefahaman tentang MADANI, kita mempunyai sedikit kelainan daripada konsep pembangunan seutuhnya yang dibicarakan sebelum ini,” ujarnya.
Dalam era pascanormal, beliau menyeru agar umat Islam berpegang teguh pada prinsip akidah dan tidak terjebak dengan ideologi yang meruntuhkan asas keimanan kerana prinsip kebenaran, hak dan makruf kini semakin menjadi relatif akibat daripada pengaruh fahaman sekular ekstrem.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa pentingnya umat Islam membangunkan kekuatan dalaman yang merangkumi aspek akidah, akhlak, sahsiah, keluarga dan masyarakat, selain memperkukuh daya tahan ekonomi domestik, tahap tatakelola yang baik, serta memastikan pegawai pada semua peringkat bertindak cekap dan berprinsip.
Tambah beliau lagi, penghayatan tafaqquh fi al-din harus diterjemahkan secara menyeluruh dalam semua bidang kerana penguasaan al-Quran dan ilmu tidak semestinya menjamin hasil yang positif sekiranya tidak dihayati dengan betul.
Oleh itu, beliau memaklumkan bahawa cabaran utama tafaqquh fi al-din bukan tertumpu pada orang yang jahil dan yang tidak berpeluang mengakses ilmu, tetapi kepada golongan yang berilmu dan mempunyai kuasa.
Saya mengingatkan dan menggesa rakan-rakan supaya membantu. Kita tidak mempunyai masa kerana cabaran begitu banyak.
Kita tekankan bagaimana penguasaan al-Quran itu menjadi asas untuk mengangkat martabat, harakat, darjat umat untuk membina tamadun dan negara MADANI.
Kata beliau, umat Islam perlu bersedia menghadapi cabaran semasa yang menuntut penguasaan dalam pelbagai bidang moden seperti bahasa, teknologi digital dan kecerdasan buatan, namun asas penghayatan al-Quran tidak boleh dipinggirkan dalam arus kemajuan tersebut.
Dalam inti pati ucapannya juga, beliau turut menyentuh tentang hikmah dakwah dan kebijaksanaan kerana cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam kini amat kompleks dan memerlukan pendekatan yang segar, dinamik serta berani.
Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar; Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Mohd Shukri Ramli; Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, YB Tuan Rus’sele Eizan; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.