Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 23 April 2025, 17:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengarahkan pihak pengimport segera menarik balik produk makanan Indonesia yang didapati mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi daripada pasaran tempatan.

Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata demikian selepas memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius akan pengumuman rasmi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia pada Isnin lalu berhubung dengan penarikan semula produk makanan yang dikenal pasti mengandungi DNA babi (porcine).

Selain itu, beliau memaklumkan bahawa JAKIM bersama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) segera menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap produk makanan berkenaan sekiranya dikesan berada di pasaran tempatan.

Menurut beliau, tindakan pemantauan tersebut dilaksanakan sebagai langkah pencegahan awal daripada pihak berkuasa agama.

“Berdasarkan siaran media rasmi BPJPH serta hasil pemantauan bersama dengan BPOM, didapati sebanyak 11 kumpulan daripada sembilan jenis produk makanan telah dikesan mengandungi DNA babi (porcine) melalui analisis makmal,” katanya dalam suatu kenyataan, semalam.

Daripada jumlah tersebut, sembilan kumpulan daripada tujuh produk memiliki sijil halal, manakala dua kumpulan daripada dua produk tidak memiliki sijil halal.

Sementara itu, antara produk yang terbabit dalam pengesanan DNA babi tersebut termasuklah Corniche Fluffy Jelly Marshmallow Aneka Rasa (Filipina), Corniche Marshmallow Perisa Epal (Filipina), ChompChomp Car Mallow (China), Hakiki Gelatin (Indonesia), Larbee – TYL Marshmallow (China), AAA Marshmallow (China) dan SWEETME Marshmallow Perisa Coklat (China).

“JAKIM menyokong penuh tindakan tegas dan proaktif pihak berkuasa Indonesia dalam usaha menangani isu pelanggaran pematuhan pensijilan halal serta aspek keselamatan makanan,” jelasnya lagi.

Beliau turut menyifatkan bahawa langkah ini sejajar dengan prinsip utama dalam pemeliharaan hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini.

Tambah beliau, JAKIM menyeru orang ramai untuk turut memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan yang berkaitan sekiranya menjumpai produk tersebut di pasaran.

“Aduan boleh dikemukakan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM melalui pautan https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi