Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Permohonan Insentif Haji Muassasah sebanyak RM1000 untuk warga Selangor yang layak akan dibuka bermula pada 22 April 2025 hingga 25 Julai 2025.
Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, bakal jemaah yang mengundi di Selangor boleh memohon insentif berkenaan di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Bagi tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor menawarkan Insentif Haji Muassasah yang akan memberikan sejumlah RM1000 kepada 6000 orang bakal jemaah haji muassasah dengan peruntukan sebanyak RM6 juta,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, baru-baru ini.
Menurut beliau, pemohon perlu membawa salinan bercetak Jadual Penerbangan Haji Muassasah Tahun 2025 dengan paparan KOD MUAS dan salinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengesahkan bakal jemaah ialah warga yang mengundi di Selangor.
Katanya, pada tahun ini, sebanyak 8338 orang jemaah haji dari Selangor terpilih menunaikan fardu haji, yang melibatkan penyertaan dari sembilan daerah di seluruh negeri tersebut.
Tambah beliau, bakal haji yang terpilih telah mengikuti sebanyak 13 siri Kursus Asas Haji dan Kursus Intensif, yang kemuncaknya pada 20 April 2025 melalui pelaksanaan Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Selangor 1446H/2025M di Masjid Negeri Shah Alam.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 orang asnaf dari seluruh Selangor telah menerima tajaan penuh daripada Kerajaan Negeri Selangor, yang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta sebagai manifestasi keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan umat Islam di negeri ini,” jelas beliau.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa komited dalam usaha membantu dan menyokong rakyat untuk melaksanakan ibadah fardu, khususnya kepada golongan yang memerlukan, agar mereka juga dapat merasai nikmat menjadi tetamu Allah di tanah suci.