Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 20 April 2025, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Beseri — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar para bakal haji sentiasa menzahirkan rasa syukur atas peluang menjadi tetamu Allah, melaksanakan ibadat haji dengan sebaik-baiknya serta dengan penuh keikhlasan dan tawaduk.

Raja Muda Perlis mengingatkan para jemaah agar menunaikan ibadat haji dengan penuh keikhlasan dan tawaduk.

Baginda turut mengingatkan bahawa peluang menunaikan ibadat haji adalah satu anugerah yang amat berharga dan hanya datang sekali dalam seumur hidup bagi kebanyakan orang. Maka itu, para jemaah diseru agar sentiasa memelihara adab dan menjauhi segala perkara yang boleh menjejaskan kesempurnaan ibadat suci tersebut.

“Saya turut berharap agar para bakal jemaah dapat mengamalkan sebaik-baik mungkin segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang mengikuti kursus-kursus haji anjuran Tabung Haji. Janganlah berasa ‘segan’ untuk bertanya kepada para Pembimbing Ibadat Haji sekiranya masih terdapat perkara yang kurang difahami,” titah Baginda lagi.

Dalam semangat kebersamaan, Tuanku Syed Faizuddin mencemar duli bersalaman dengan bakal-bakal haji, menzahirkan keprihatinan dan kasih sayang Baginda kepada rakyat.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Perlis Musim 1446 Hijrah dan Tahun 2025 Masihi yang berlangsung semalam di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran MARA Beseri.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengarah Tabung Haji Wilayah Utara, YBhg. Datuk Mohamad Mokhzani Mokhtar.

Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perlis ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tabung Haji dalam memastikan para jemaah mendapat ilmu dan bimbingan secukupnya sebelum berangkat ke Tanah Suci yang melibatkan sebanyak 314 orang jemaah bakal haji dari Perlis setakat 19 April 2025 untuk tahun ini. 

Dari sudut demografi, terdapat sebanyak 122 orang jemaah lelaki dan 192 orang jemaah wanita. Sejumlah 259 orang jemaah dalam kalangan mereka menggunakan perkhidmatan Muassasah (Masyariq) dan 55 orang jemaah lagi menggunakan perkhidmatan swasta.

Datuk Mohamad Mokhzani dalam ucapan alu-aluannya menyatakan, Tabung Haji sentiasa komited untuk menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia.

“Komitmen ini terbukti dengan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan oleh Tabung Haji yang sentiasa mencapai standard bertaraf dunia, malah menjadi contoh bagi negara-negara Islam lain,” ujar beliau.

Kursus Perdana Haji ini lebih fokus kepada praktikal manasik haji yang bakal dilalui oleh setiap jemaah haji. Justeru itu, beliau berharap agar para jemaah memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang kursus, agar ibadat haji di Tanah Suci kelak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi