Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Zakat bukan sahaja berperanan membantu menjana pertumbuhan ekonomi Perlis, malah pengurusannya yang efisien dan sistematik mampu melonjakkan potensinya sebagai instrumen pembangunan rakyat.
Demikian titah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli di sekitar Kampung Simpang Sanglang, Simpang Empat.
Baginda juga mengajak semua rakyat Perlis untuk bersama-sama berusaha untuk terus memperbaik keperibadian diri, serta menjadi contoh yang baik dalam segala aspek kehidupan.
“Dengan berpegang pada ajaran Islam yang sebenar, kita akan dapat membina masyarakat yang lebih harmoni, aman dan diberkati oleh Allah,” titah baginda.
Kayuhan amal ini merupakan satu daripada usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk membantu golongan kurang bernasib baik di Perlis.
Program ini juga bertujuan untuk memberikan motivasi kepada mereka supaya dapat keluar daripada belenggu kemiskinan melalui pelbagai bentuk bantuan yang disediakan.
Inisiatif ini turut menerima sokongan kuat daripada ketua-ketua jabatan serta agensi di peringkat negeri dan persekutuan, yang bersama-sama berganding tenaga menyantuni dan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyampaikan sumbangan kepada Encik Izemi Ahmad, 76 tahun dari Kampung Simpang Sanglang; Puan Rabiah Din, 73 tahun dari Kuala Sanglang dan Encik Hashim Yaakob, 83 tahun dari Kampung Rama.
Pada edisi kali ini, golongan asnaf terpilih menerima sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah sebagai tanda keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat.