Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perlis akan menjadi tuan rumah Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M (MTHQK) yang akan berlangsung selama enam hari, bermula pada 27 April hingga 2 Mei 2025.
Majlis ini ialah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI dan akan berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis atas kesudian menjadi tuan rumah MTHQK 2025 yang merupakan program tahunan JAKIM yang dianjurkan bersama-sama kerajaan negeri.
MTHQK 2025 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 27 April 2025 (Ahad) pukul 9.00 malam di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Sementara itu, Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pula akan disempurnakan oleh Raja Negeri Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 2 Mei 2025 (Jumaat) 9.00 malam, di tempat yang sama.
Dalam satu kenyataan pada hari ini, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkat,a Penganjuran MTHQK pada tahun ini merupakan kali yang ke-67 semenjak pertama kali dianjurkan pada tahun 1960.
“Sejarah yang panjang ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan MTHQK kekal relevan dan segar bagi menarik minat semua golongan masyarakat Islam Malaysia.
Istimewa penganjuran MTHQK pada kali ini kerana majlis ini dianjurkan sempena sambutan jubli perak pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
“Penganjuran ini juga selaras dengan nilai MADANI yang sentiasa menekankan kesejahteraan umat melalui pengukuhan ilmu, pemerkasaan perpaduan dan kepimpinan yang berwibawa,”ujar beliau.
Beliau berkata, JAKIM menyeru dan menjemput orang ramai hadir menyaksikan dan memeriahkan MTHQK 2025 di Dewan 2020, Kangar, Perlis.
Tambahnya lagi, MTHQK 2025 akan bersiaran secara langsung melalui saluran TV1 RTM, TV AlHijrah serta saluran media sosial rasmi JAKIM juga secara lintas langsung dari beberapa radio RTM.
MTHQK 2025 melibatkan penyertaan sebanyak 109 orang peserta dari negeri di seluruh negara.
Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan orang peserta, iaitu dua orang peserta dalam Pertandingan Tilawah al-Quran manakala enam orang peserta dalam Pertandingan Hafazan al-Quran.
Pelibatan seluruh negeri dalam pertandingan pada tahun ini menjadikan jumlah peserta tilawah sebanyak 28 orang; iaitu 14 orang qari dan 14 orang qariah.
Pertandingan hafazan pula bakal menyaksikan penyertaan sebanyak 81 orang peserta.
Sementara itu, sebanyak 26 orang hakim terlibat, iaitu 12 orang untuk menilai bacaan para peserta tilawah, manakala para hufaz akan dinilai oleh 14 orang hakim.