Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengarahkan semua masjid di Perlis melaksanakan bacaan Qunut Nazilah pada rakaat terakhir bagi setiap solat fardu bermula dengan solat subuh esok.
Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs pada hari ini bertitah bahawa arahan tersebut akan terus berkuat kuasa hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Selain itu, arahan tersebut juga telah mendapat perkenan Raja Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail setelah meneliti perkembangan semasa tindakan serangan dan sekatan bekalan kemanusiaan oleh tentera Israel dan pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin di bumi Gaza.
Dengan ini, diperintahkan kepada semua masjid di negeri Perlis untuk membaca Qunut Nazilah pada rakaat terakhir solat lima waktu bermula daripada waktu subuh, 9 April 2024 (Rabu), bersamaan dengan 10 Syawal 1446 Hijrah hingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
Bagi membantu pelaksanaan arahan ini, Jabatan Mufti Negeri Perlis menyediakan contoh lafaz doa Qunut Nazilah untuk dijadikan panduan kepada masjid di seluruh negeri berkenaan.
Sebelum ini, Jabatan Mufti Negeri Perlis menerusi surat edarannya pada 15 Julai tahun lalu telah mengarahkan penangguhan bacaan Qunut Nazilah setelah hampir setahun dilaksanakan di negeri tersebut.