Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia, (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah bahawa pelaksanaan solat Aidilfitri di tanah lapang (Musolla) dengan ketetapan waktu solat bermula pada pukul 7.45 pagi hingga pukul 8.15 pagi sempena Hari Raya Aidilfitri.
Demikian titah DYTM Tuanku Syed Putra Syed Sirajuddin Jamalullail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada semalam.
Menurut baginda, setiap jawatankuasa kariah hendaklah memastikan agar hebahan berkaitan waktu yang dipilih dapat dilaksanakan sebaiknya.
Pemilihan tanah lapang berkenaan adalah tertakluk kepada ketetapan oleh jawatankuasa kariah masjid masing-masing di seluruh negeri Perlis.
Pelaksanaan solat aidilfitri di tanah lapang juga merupakan sebahagian daripada ajaran baginda Rasulullah SAW kepada kita.
Selain itu, baginda juga menitahkan pihak jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada bilangan jemaah yang hadir menunaikan solat Aidilfitri.
Baginda turut memaklumkan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan para Jemaah untuk menunaikan solat Aidilfitri di tanah lapang, para jemaah boleh menunaikan solat ke ruang dalam masjid pada pukul 8.15 pagi.
Hebahan berkaitan perubahan lokasi dari tanah lapang ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid pada pukul 7.45 pagi.
Sementara itu, tegas baginda, pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara melaksanakan solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Sehubungan dengan itu, baginda menyeru ahli kariah yang mempunyai sebarang persoalan mengenai pengurusan pelaksanaan solat Aidilfitri, mohon hubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) melalui talian 04-9794400 atau berinteraksi melalui hantaran peribadi di laman facebook Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).