Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 16:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) menyantuni golongan yang kurang berkemampuan menerusi Majlis Penyerahan Sumbangan dan Iftar HASiL 2025 bersempena dengan Program Mahabbah Ramadan HASiL 2025/1446H yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Program Mahabbah Ramadan ini bertitik tolak daripada rasa tanggungjawab dan keprihatinan HASiL dalam usaha menjalankan kebajikan terhadap golongan yang kurang berkemampuan terutamanya pada bulan Ramadan.

Dalam program ini, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, program iftar dan sumbangan ini merupakan sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial (CSR) HASiL yang dianjurkan khusus untuk meraikan golongan yang kurang bernasib baik, terutamanya anak yatim, miskin dan asnaf.

Sewaktu berucap dalam program Mahabbah Ramadan, beliau berkata,

Bagi pihak HASiL, inilah peluang untuk memperkukuh rasa keprihatinan dan kebersamaan, berkongsi rezeki dan kegembiraan, lebih-lebih lagi dalam menyambut kemeriahan Aidilfitri yang bakal menjelang.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin yang juga wakil bagi pihak HASiL, turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada rumah kebajikan anak-anak yatim, asnaf dan tahfiz di sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Antaranya termasuklah Rumah Bakti Al Kausar Bangi, Pertubuhan Anak Yatim Dan Asnaf An-Naafi Selangor, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/Miskin Rukaiyah, Maahad Tahfiz Miftahul Ulum dan Persatuan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dalam Program Mahabbah Ramadan 2025 di Dewan Serbaguna, Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya.

Pada masa yang sama, program ini juga diserikan lagi dengan sesi pemberian duit raya kepada semua anak yatim, asnaf dan murid tahfiz yang hadir.

Turut hadir sama dalam program ini termasuklah  barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, pengurusan kanan, tetamu jemputan serta warga kerja HASiL.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi