Diterbitkan pada 24 Mac 2025, 14:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sempena Ramadan yang mulia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terpanggil untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di sekitar Perlis menerusi penganjuran program “1 Person 1 Can”, yang bertemakan “We Love, We Care” (Kami Sayang, Kami Prihatin).

Menurut Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Perlis, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh, program tersebut merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang memberikan manfaat kepada 30 orang penerima daripada golongan asnaf di sekitar kawasan Arau.

Jelas beliau, program tersebut merupakan inisiatif yang dicetuskan oleh Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Perlis.

“Objektif utama program ini bertujuan untuk mendekati golongan asnaf serta membantu mereka dari segi keperluan untuk menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.

“Bersempena dengan program ini, warga kerja UiTM Cawangan Perlis terutamanya daripada FPP dan UHEI berganding bahu untuk meringankan beban golongan asnaf yang tidak berkemampuan dengan menyalurkan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas seperti beras, makanan kering dan tepung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Di samping itu juga, sumbangan berbentuk wang tunai turut diberikan yang diharapkan dapat sedikit banyak menceriakan dan membantu mereka untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Program Khidmat Masyarakat “1 Person 1 Can” yang berlangsung di Masjid al-Abrar, Kampung Kubang Gajah, Arau, Perlis.

Yang turut hadir ialah Ketua Pusat Pengajian FPP UiTM Cawangan Perlis, Dr. Ismalaili Ismail, Ketua UHEI UiTM Cawangan Perlis, Puan Nor Baihah Daud, Imam Masjid al-Abrar, Encik Johare Harun dan Pengerusi Masjid al-Abrar, Encik Mohamad Abdul Kadir Sahak.

Tambah Encik Wan Mohd Yaseer lagi, program tersebut turut bertujuan untuk mengeratkan dan merapatkan lagi hubungan antara UiTM Cawangan Perlis dengan masyarakat setempat yang sememangnya telah pun terjalin sejak sekian lama.

Ujarnya, sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam yang telah bertapak sejak 5 Julai 1974, UiTM Cawangan Perlis sememangnya memainkan peranan penting dalam pembangunan akademik dan juga modal insan di negeri ini.

Beliau berkata, “Dengan adanya program seperti ini, dapat membuka ruang kepada warga UiTM Cawangan Perlis untuk sama-sama turun padang sekali gus dapat merapatkan hubungan antara para akademia dengan masyarakat setempat.”

“Oleh itu, penganjuran program seperti ini akan dapat memupuk sifat ambil berat dan prihatin terhadap golongan yang memerlukan bantuan sekali gus dapat menjaga kebajikan sosial masyarakat setempat,” jelasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi