Diterbitkan pada 24 Mac 2025, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Menjelang penghujung Ramadan, umat Islam digalakkan untuk meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT termasuklah dengan melakukan tadabur al-Quran.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), Ustazah Nurul Husna Mat Isa berkata, tadabur bukan sekadar membaca ayat suci, tetapi juga memahami, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

“Ramadan ialah bulan turunnya al-Quran, maka pada penghujung bulan yang mulia ini, umat Islam seharusnya mengambil peluang untuk lebih mendalami makna ayat-ayat Allah.

“Tadabur membantu kita bukan sahaja memahami maksud ayat, tetapi juga mengaplikasikannya dalam kehidupan,” katanya dalam satu sesi kuliah khas sempena 10 malam terakhir Ramadan, baru-baru ini.

Menurutnya, tadabur al-Quran boleh dilakukan dengan cara membaca tafsir, merenung ayat yang dibaca serta mengaitkannya dengan keadaan diri dan masyarakat.

Tadabur bukan sekadar memahami, tetapi harus membawa kepada perubahan diri.

“Sebagai contoh, apabila kita membaca tentang sifat sabar dan ketakwaan dalam al-Quran, kita perlu bermuhasabah sejauh mana kita mengamalkan nilai-nilai ini dalam kehidupan harian,” tambahnya.

Beliau turut menggalakkan umat Islam untuk mengambil peluang pada malam-malam terakhir Ramadan dengan mengkhususkan masa untuk tadabur dan berdoa terutamanya dalam usaha mengejar lailatulqadar yang penuh keberkatan.

“Tadabur pada bulan Ramadan khususnya pada 10 malam terakhir boleh menjadi titik perubahan dalam hidup seseorang dan boleh membimbing kita menjadi insan yang lebih baik selepas Ramadan,” katanya.

Ustazah Husna turut mencadangkan agar amalan tadabur diteruskan sepanjang tahun dan bukan hanya pada bulan Ramadan.

“Kita boleh memulakan dengan membaca satu atau dua ayat sehari, memahami maknanya, dan cuba mengamalkannya sedikit dahulu tetapi berterusan kerana hal itu lebih baik daripada banyak tetapi ditinggalkan,” ujarnya.

Sebagai langkah praktikal, beliau menyarankan umat Islam menyertai halaqah tadabur atau berkongsi refleksi tentang ayat al-Quran bersama-sama keluarga dan sahabat.

Dengan baki beberapa hari sebelum Syawal menjelang, beliau berharap agar umat Islam dapat memanfaatkan waktu ini dengan meningkatkan hubungan dengan al-Quran bukan sekadar membacanya, tetapi juga menghayati mesej yang terkandung padanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi