Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan bahawa agihan keuntungan pada kadar 3.25 peratus bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 yang melibatkan pemberian manfaat sebanyak RM2.92 bilion kepada lebih 9.54 juta orang pendeposit.
Menurut pihak TH menerusi kenyataanya, kadar tersebut dicapai setelah mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.5775 peratus, iaitu sebanyak RM99.35 juta kepada semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi pihak pendeposit untuk tahun 2024.
Kadar agihan keuntungan 2024 yang lebih baik ini ialah kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak tahun 2018.
Selain itu, pihaknya berkata agihan keuntungan tersebut menjadikan jumlah terkumpul agihan selama 61 tahun sejak penubuhannya hingga kini ialah sebanyak RM45.79 bilion.
“Agihan keuntungan ini dipacu dengan prestasi pelaburan yang lebih baik, kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada tahun 2024, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi,” jelas pihaknya.
Tambah pihaknya lagi, TH merekodkan prestasi pelaburan yang baik pada tahun 2024 dengan mencatatkan pulangan pendapatan 5.08 peratus sebelum pelunasan zakat, Bantuan Kewangan Haji dan kos operasi.
Bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, TH mencatatkan pendapatan keseluruhan berjumlah RM4.56 bilion, meningkat 6.29 peratus berbanding dengan RM4.29 bilion yang direkodkan pada tahun 2023.
Selain itu, pihaknya turut memaklumkan bahawa jumlah aset di bawah pengurusan TH mencapai RM95.06 bilion, iaitu naik 3.77 peratus daripada RM91.61 bilion pada tahun 2023 disebabkan oleh pendapatan dan nilai pelaburan yang lebih kukuh.
Dana pendeposit pula telah mencecah RM91.75 bilion pada akhir tahun 2024, meningkat berbanding dengan RM89.01 bilion pada akhir tahun 2023.
Pengerusi TH, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata TH akan terus berusaha meningkatkan prestasinya pada masa hadapan bagi membantu pendeposit mengembangkan tabungan mereka secara mampan.
Walaupun berdepan prestasi ekonomi dunia yang bergelut dengan tekanan inflasi pada tahun 2024, ekonomi Malaysia terus berkembang 5.1 peratus didorong permintaan domestik yang kukuh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan langsung asing.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBhg. Datuk Syed Hamadah Syed Othman menjelaskan bahawa TH mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan dan mensasarkan potensi penjanaan pendapatan yang berdaya tahan dan mampan.
Di samping itu, pihak TH menegaskan bahawa penyelarasan jumlah zakat TH kepada MAIN berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri masing-masing.
Untuk rekod, TH selaku wakil kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) menyantuni dan mengedarkan sendiri sebahagian daripada dana zakat tersebut kepada lebih 670 ribu asnaf di seluruh negara pada tahun lalu melalui Program Zakat Wakalah.
Pengisytiharan agihan keuntungan ini mematuhi Akta Tabung Haji 1995 dan diumumkan setelah penyata kewangan TH tahun 2024 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara.
Prestasi kewangan kekal kukuh walaupun TH merekodkan rosot nilai ke atas pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi yang dilakukan sebelum tahun 2018.
“Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing pada 23 Mac 2025 menerusi platform THiJARI, kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat serta saluran elektronik bank rakan strategik TH, iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic,” ujarnya.
Pengumuman agihan keuntungan dan pelunasan zakat TH tahun 2024 telah disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar pada Jumaat lalu.
Yang turut hadir sama dalam majlis pengumuman tersebut ialah Pengerusi TH, YBhg. Tan Sri Abdul Rashid Hussain, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBHg. Datuk Syed Hamadah Syed Othman dan Pengarah Eksekutif Kewangan Kumpulan TH, YBrs. Encik Mustakim Mohamad.