Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), YBhg. Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot menyeru umat Islam dan kaum lain di Malaysia supaya bersikap ikhlas, bertanggungjawab dan berhati-hati ketika berbicara dan mengeluarkan pandangan dalam media sosial.
Jelas beliau, berdasarkan situasi semasa ketika ini, kebebasan bersuara di media sosial kelihatan semakin disalahgunakan sehingga menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Keadaan ini sering kali berbangkit terutamanya (apabila) melibatkan isu perkauman dan agama.
Isu tersebut termasuk perkara yang boleh mencetuskan perpecahan, menganggu gugat keharmonian dan membawa kepada persengketaan.
“Dalam mendepani perkara tersebut, umat Islam diharapkan dapat menjadikan platform media sosial sebagai wadah terbaik untuk berbicara dan mengeluarkan pendapat serta dapat mengikut lunas ajaran Islam,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, umat Islam perlu mengutamakan akhlak yang baik dalam setiap percakapan mahupun penulisan termasuk platform media sosial.
Hal ini demikian kerana, beliau berkata, akhlak yang baik merupakan tuntutan daripada ajaran agama dan Islam amat menitikberatkan perihal berkenaan.
Penggunaan kata yang menyakiti sesama umat Islam dan kaum lain atau tindakan menimbulkan kebencian bertentangan dengan ajaran Islam, yang amat menekankan perpaduan serta hubungan saling menghormati.
Selain itu, beliau turut menegaskan kempen “Kalimah Tayyibah” yang digagaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum ini bertepatan dengan situasi semasa.
Tegas beliau, masyarakat perlu mengamalkan budi bahasa yang sopan, santun dan berhemah dalam pergaulan sebagaimana Rasulullah SAW sebagai insan contoh terbaik, yang beradab dan berbudi pekerti tinggi.
“Mudah-mudahan setiap perkataan yang dilontarkan membawa manfaat kepada umat Islam dan kaum lain seluruhnya serta tidak mendatangkan mudarat terhadap keharmonian kehidupan bermasyarakat di negara yang diberkati ini,” katanya.