Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) telah mengambil ketetapan dan bersetuju memperakukan pengharaman terhadap penerbitan 12 buah buku berunsur Islam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa MKI, YBhg. Dato’ Dr. Haji Nooh Gadot dalam suatu kenyataannya pada Jumaat lalu, pengharaman buku-buku berkenaan berikutan daripada Perintah Larangan yang telah dikenakan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Jelas beliau, antara buku yang terlibat termasuklah The Goal of The Wise (2022) oleh Abdullah Hashem Aba al-Sadiq; Memahami dan Menyingkapi Tradisi Tuhan: Kebangkitan yang Dibenci tapi Dirindui (2022) oleh Ahmad Mesiyyakh; Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa (2024) dan Perikatan Ulama: Negara Punca Autoritatianisme dan Kemunduran Dunia Muslim (2024) oleh Ahmet T. Kuru.
Tambah beliau lagi, pengharaman tersebut turut membabitkan buku Manusia Sebelum Adam (2023) oleh Luqmanul Hakim Abdul Razak; Duhai Hati: Menarilah Bersamaku (2023) oleh Ismail Ariffin atau lebih dikenali sebagai Lepat; Penemuan Terbaru Akidah Bersanad Imam aI-Shafi’i’ (2024) oleh Sadr al-Din Abu al-Wafa’ Sulayman Yusuf al-Yasufi; Golongan Muslim Pertama, Sejarah dan Memori (2018) oleh Asma Afsaruddin; Suhuf Abraham; Suka Duka Perjalanan Dhul Qarnain; Jalan Kebenaran Universal serta Kaidah Moral dan Disiplin.
Kesemua 12 buah buku yang dibentangkan mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunah Waljamaah (aI-Asya’irah dan aI Maturidiyyah), syariah dan akhlak Islam yang dapat mengelirukan masyarakat Islam.
Oleh itu, buku-buku berkenaan perlu diharamkan.
“Orang Islam dilarang memiliki, menyimpan, mencetak dan menjual termasuk mengedarkan apa-apa terbitan berkenaan dengan isi kandungan buku-buku tersebut,” tegasnya.
Sementara itu, pengharaman 12 buah buku tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 pada 24 hingga 26 September 2024 yang membincangkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Media Berunsur Islam (JPMBI) Kali Ke-96.