Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jasin – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) memberikan sumbangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri sempena Program Kasihmu Ramadan Mewarnai Syawal Bersama Anak Syurga kepada sebanyak 45 orang anak yatim di kawasan pentadbiran majlis perbandaran tersebut, baru-baru ini.

Setiausaha MPJ, YBrs. Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, program tahunan tersebut bertujuan untuk menyantuni dan menggembirakan anak yatim untuk membuat persiapan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Syarikat Xinyi Energy Smart menerusi program tanggungjawab sosial korporat mereka untuk mendekati dan menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya anak-anak yatim.

“Berbanding dengan penganjuran sebelum ini, Program Kasihmu Ramadan Mewarnai Syawal Bersama Anak Syurga pada tahun ini turut melibatkan anak-anak kakitangan MPJ yang berstatus yatim piatu.

“Selain menjadi program tanggungjawab sosial korporat MPJ dengan menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada golongan sasar di bawah pentadbiran MPJ, program ini juga diharapkan dapat mewujudkan jaringan sosial dan memupuk sifat empati dalam kalangan warga jabatan,” ujarnya dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut, di sini.

Tambah beliau, “Program yang dianjurkan serta sumbangan yang disalurkan ini juga diharapkan dapat membantu mengurangkan bebanan mereka untuk membeli kelengkapan hari raya.”

“Hal ini sekali gus memberikan sinar kepada mereka untuk menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri tidak berapa lama lagi bersama-sama keluarga tersayang,” katanya.

Dalam Program Kasihmu Ramadan Mewarnai Syawal Bersama Anak Syurga, anak-anak yatim begitu ceria kerana diberikan peluang untuk memilih sendiri kelengkapan pakaian hari raya yang mereka idamkan sambil disantuni oleh Ahli Majlis MPJ, Ketua Jabatan dan Ketua Unit MPJ.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi