Diterbitkan pada 17 Mac 2025, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada 300 orang penerima dalam Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan Peringkat Parlimen Bandar Tun Razak pada 15 Mac 2025.

Program anjuran Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Masjid al-Muqarrabin tersebut berlangsung di Masjid al-Muqarrabin, Bandar Tasik Selatan, di sini.

Dalam ucapannya, Dr. Wan Azizah menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program ini dan menekankan kepentingan Ramadan sebagai bulan yang penuh keberkatan.

“Ramadan ialah bulan kesabaran dan pengajaran. Ganjaran kesabaran ialah syurga, dengan awalnya penuh rahmat, pertengahannya pengampunan, dan akhirnya pembebasan daripada api neraka,” ujar beliau.

Tambahnya lagi,

Ramadan yang datang kepada kita setahun sekali, membawa berbagai-bagai keberkatan dan kerahmatan daripada Allah.

“Sesungguhnya para muslimin dan muslimat yang ikhlas kepada Allah, akan berasa sangat gembira dengan kedatangan bulan yang mulia lagi penuh berkat ini,” ujarnya.

Beliau turut mengajak umat Islam untuk meningkatkan amalan seperti solat tarawih, membaca al-Quran dan qiamullail bagi merebut ganjaran pada bulan mulia ini.

“Semoga Ramadan pada kali ini menjadikan kita manusia yang lebih baik berbanding dengan tahun sebelumnya,” katanya.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Azman Haji Abidin, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri Malaysia; YBrs. Puan Suzana Alias, Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan JWP; YBhg. Datuk Mohd. Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, MAIWP; YBrs. Tuan Haji Hanifuddin Roslan, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan; pemimpin agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Dr. Wan Azizah berharap program ini dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti.

Beliau turut mengingatkan umat Islam agar terus bersyukur, bermuhasabah, dan meningkatkan ketakwaan sepanjang bulan Ramadan.

“Semoga bulan Ramadan yang suci ini membawa iman dan takwa kepada kita,” tegasnya.

Program Nur Ramadan ini merupakan satu daripada inisiatif bagi membantu masyarakat dan memperkukuh ikatan silaturahim di Wilayah Persekutuan.

Kredit Foto: Wilayahku
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi