Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima Watikah Pemasyhuran Semula sebagai Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa dari 15 April 2025 hingga 14 April 2030.
Pemasyhuran berkenaan dibuat selaras dengan peruntukan Seksyen 32 Perlembagaan UniSIRAJ (2024), seterusnya memperkukuh kepimpinan baginda dalam usaha membimbing institusi pendidikan tinggi Islam itu ke arah kecemerlangan.
Menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), majlis ini bukan sahaja mencatatkan detik bersejarah buat UniSIRAJ, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam yang semakin mengukir nama di rantau ini.
Sebagai sebuah institusi yang berteraskan pendidikan Islam moden, UniSIRAJ terus berkembang dengan pendekatan akademik yang memadukan tradisi ilmu Islam dan kemajuan teknologi semasa.
“Selain menitikberatkan kajian dalam bidang pengajian Islam, muamalat dan syariah, universiti ini turut memperkenalkan elemen pendidikan berasaskan teknologi digital dan keusahawanan Islam bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu tetapi berdaya saing dalam ekonomi global,” katanya.
Selain menawarkan program akademik yang mantap, UniSIRAJ giat menjalinkan kerjasama strategik dengan institusi dari dalam dan luar negara, termasuklah universiti terkemuka di Timur Tengah serta Asia Tenggara bagi memastikan mutu pendidikan yang diberikan sejajar dengan perkembangan semasa.
Jelas pihaknya lagi, penekanan terhadap kajian ilmiah dan inovasi dalam bidang pengajian Islam turut menjadi keutamaan dengan usaha memperkasakan penyelidikan kecerdasan buatan dalam fiqh, kewangan Islam digital dan teknologi pendidikan Islam interaktif.
“Sebagai sebuah universiti yang menggalakkan keterlibatan komuniti, UniSIRAJ melaksanakan program kemasyarakatan dan dakwah secara aktif dengan inisiatif yang memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya dalam usaha memperkukuhkan kefahaman Islam secara inklusif dan progresif,” ujarnya.
Watikah tersebut dipersembahkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), YBrs. Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs Sdn. Bhd. (ALP), YBhg. Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; dan Rektor UniSIRAJ, YBrs. Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.
UniSIRAJ merupakan institusi pendidikan tinggi Islam milik penuh MAIPs berperanan penting dalam pembangunan akademik dan dakwah Islam di negeri Perlis serta pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Sehingga Mac 2025, UniSIRAJ menawarkan 27 buah program pengajian merangkumi peringkat Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah menerusi empat buah fakulti utama, iaitu Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan dan Fakulti al-Quran dan Sunnah, selain dua buah pusat pengajian, yakni Pusat Pengajian Asasi dan Pusat Pengajian Siswazah.