Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan menyambut baik cadangan untuk memperkukuh promosi dan pembangunan produk halal khususnya melalui pelaksanaan aktiviti strategik yang melibatkan pelbagai pihak.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, usaha tersebut termasuk memperbanyak pembangunan infrastruktur dan kemudahan halal yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat dan pelancong mendapatkan produk serta perkhidmatan halal.
“Pelancongan halal juga diperkukuh menerusi pengenalan pakej islamik merangkumi lawatan ke masjid bersejarah, program budaya Islam dan penerapan gaya hidup Muslim,” katanya ketika berucap dalam sidang Dewan Negara semalam.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama dengan pihak berkuasa agama negeri, iaitu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Islamic Tourism Center (ITC) melaksanakan program mempromosikan pelancongan masjid di seluruh negara.
Tambah beliau lagi, JAKIM bertindak sebagai urus setia dalam Persidangan Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Pelancong Masjid Seluruh Malaysia yang diadakan dua kali setahun bagi menyelaraskan hal yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan di masjid.
“Bagi program budaya Islam dan penerapan gaya hidup Muslim, atau pada peringkat JAKIM dijenamakan dengan pemerkasaan penghayatan nilai dan elemen Islam dalam sektor pelancongan,” ujarnya.
JAKIM melalui tiga masjid utama (Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin) memperkenalkan program sukarelawan pemandu pelancong masjid ataupun ‘mosque tour guide’, yang memberikan pendedahan secara lebih dekat kepada pelancong tentang keindahan Islam.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan melalui JAKIM, MAIN dan JAIN sentiasa mencari pendekatan terbaik bagi mencapai matlamat tersebut untuk memperluas bilangan restoran, premis makanan dan dapur hotel yang mempunyai persijilan halal.
Beliau berkata langkah tersebut merangkumi penganjuran program taklimat mengenai prosedur dan kepentingan persijilan halal yang melibatkan persatuan industri seperti Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Malaysia.
Jelas beliau, antara langkah lain termasuklah pelaksanaan program Halal on Track Ramadan kepada pengusaha hotel di seluruh Malaysia untuk memberikan informasi terkini berkaitan dengan persijilan halal Malaysia bagi perkhidmatan bufet Ramadan serta sesi libat urus bersama pengusaha restoran.
Malah, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menggalakkan dan mempertingkat jumlah usahawan halal di kawasan Rawat dan Rehat melalui sesi bimbingan dan klinik halal.
Di samping itu, tegas beliau, program Halal on Track turut menyediakan ruang dan platform kepada usahawan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai persijilan halal Malaysia serta penganjuran empat siri program pemahaman asas pensijilan halal bersama dengan ITC yang melibatkan pihak pengusaha hotel, premis penginap pelancong dan pemandu pelancong yang berdaftar di bawahnya.