Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 18:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 21 hingga 22 Oktober tahun lalu telah memutuskan bahawa Ahli Sunah Waljamaah merupakan mazhab rasmi negara dari segi perundangan.

Demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dalam sidang Dewan Negara semalam.

Jelas beliau, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa MKI yang telah bersidang sebelum ini, iaitu pada 5 Mei 1996 turut memutuskan bahawa umat Islam di negara ini hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada agenda penyatuan umat Islam di negara ini dan penekanan pada usaha memperkasakan pegangan Ahli Sunah Waljamaah serta menjauhi sikap ekstrem sesama Muslim hanya disebabkan berlakunya perbezaan pandangan dan aliran pemikiran.

Selain itu, kata beliau, kerajaan mengambil beberapa langkah penting dalam usaha memantapkan pendekatan Ahli Sunah Waljamaah yang bersifat wasatiyah dan mengurangkan pergeseran dalam kalangan umat Islam.

Tambah beliau lagi, antara usaha tersebut termasuklah pengukuhan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menerusi kerjasama dengan institusi agama Islam negeri bagi memastikan pengurusan dan pentadbiran agama Islam selari dengan prinsip Ahli Sunah Waljamaah.

“Penyelarasan dan penyeragaman fatwa termasuk undang-undang syariah juga dilaksanakan secara teratur bersama dengan pihak berkuasa agama negeri,” katanya.

Muzakarah Jawatankuasa MKI merupakan platform terbaik untuk menangani pertembungan aliran pemikiran ini.

MKI bersidang sekurang-kurangnya tiga kali setahun dan menyelaras serta menyeragamkan hukum-hukum dan fatwa agar menjadi rujukan pada peringkat kebangsaan dan negeri.

Beliau turut mengulas lanjut bahawa medium khutbah Jumaat digunakan sebagai peringatan dan nasihat kepada orang Islam agar bersifat wasatiyah, harmoni dan mementingkan perpaduan selain menekankan aspek adab untuk menangani perbezaan dalam perkara khilafiah.

Kita (kerajaan) juga menerbitkan teks khutbah Jumaat tersebut dan beberapa buah buku, antaranya termasuklah Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam oleh Sheikh Dr. Taha Jabir Fayyadh al-Alwani.

“Kerajaan menjalankan aktiviti dan program bersesuaian melalui pendekatan dakwah bi al-hal dan bi al-lisan untuk menyebar luas dan memantapkan kefahaman Islam yang sederhana serta meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan,” ujarnya.

Tegas beliau, kerajaan terus memperkasakan program pendidikan dan keilmuan seperti program takmir masjid dan surau di seluruh negara, Forum Perdana Ehwal Islam, Majlis Ilmu MADANI, Daurah Pengajian Hadis dan program penjelasan adab perbezaan pendapat dalam Islam.

Kredit Foto: Facebook - Senator Zulkifli Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi