Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan berjumlah RM505,000 bagi program Ihya’ Masjid kepada 101 buah masjid di seluruh negeri ini.
Peruntukan tersebut bertujuan untuk menyokong usaha pengimarahan dan pemerkasaan institusi masjid sebagai pusat perkembangan dakwah serta aktiviti kemasyarakatan.
Pelancaran program tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, DYMM Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.
Menurut kenyataan MAIPs, peruntukan ini bukan sekadar untuk penyelenggaraan fizikal masjid, tetapi juga bagi mengimarahkan rumah ibadah dengan program keilmuan dan kebajikan.
“Masjid perlu menjadi pusat ilmu dan pembangunan rohani yang aktif serta menjadi tempat perlindungan bagi masyarakat setempat.
“MAIPs komited merangka pelbagai program bagi memastikan institusi ini kekal relevan dalam mendepani cabaran semasa,” kata MAIPs.
MAIPs turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya umat Islam mengembalikan peranan masjid sebagai jantung gerakan ummah.
Masjid bukan sekadar tempat solat, tetapi pusat penggerak perubahan sosial, ekonomi, dan pendidikan masyarakat Islam.
“Kita harus menjadikannya sebagai medan penyatuan dan pembinaan tamadun yang kukuh, agar ia terus menjadi benteng utama dalam mempertahankan nilai dan maruah umat Islam,” tambah MAIPs.
MAIPs menegaskan bahawa agensi tersebut terus komited merancang pelbagai inisiatif bagi memastikan masjid di Perlis bukan hanya berfungsi sebagai tempat ibadah, tetapi juga sebagai agen perubahan yang mampu membangunkan ummah secara holistik.
Yang berangkat sama dalam program tersebut ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda-anakanda Baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Ketua Unit Agihan Zakat MAIPs, Muhammad Najdi Mohd Noor.