Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMelaka – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Bahagian Pembangunan Insan menganjurkan Program Ihya’ Tarbawi Ramadan (IHTIRAM) yang dikenali sebagai Kembara Sahur, sepanjang Ramadan ini.
Program ini melibatkan sebanyak 20 orang pegawai dan kakitangan daripada Badan Sukarelawan Al-Taqwa MAIM (BSAT), bertujuan memupuk semangat ukhuwah serta menyemarakkan ibadah dalam kalangan masyarakat Islam.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, program ini turut menggalakkan umat Islam, khususnya penjawat awam, meraikan Ramadan dengan penuh keinsafan dan keberkatan.
“Program ini mendidik peserta untuk menanamkan sifat kehambaan kepada Allah serta menyemai kecintaan kepada-Nya melalui aktiviti ibadah secara berjemaah,” katanya.
Kembara Sahur peringkat pertama bermula di Daerah Melaka Tengah sekitar pukul 1.00 pagi dan melibatkan edaran kit makanan sahur di beberapa lokasi utama.
Sebanyak 30 kit makanan diedarkan di Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, 30 kit di Balai Polis Tanjung Minyak, dan 40 kit di Wad Kecemasan Hospital Besar Melaka.
Sebanyak 82 kit makanan turut disampaikan kepada penghuni Rumah Kasih Tun Abdul Aziz di Durian Daun, di samping aktiviti qiamullail dan sahur bersama-sama mereka.
Program ini turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Tugas Khas MAIM, Datuk Wira Md Rawi Mahmud, yang bersama-sama menyantuni para penerima manfaat.
Kembara Sahur akan diteruskan pada setiap Sabtu di daerah lain, dengan Alor Gajah dan Jasin menjadi destinasi seterusnya.
MAIM berharap program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan berkongsi rezeki dan menghidupkan Ramadan dengan amalan kebajikan.