Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Serdang – Amalan makan secara berjemaah menggunakan satu talam menjadi tarikan buka puasa di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini.
Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan juadah buka puasa kepada lebih daripada 800 orang jemaah pada setiap hari Rabu sepanjang Ramadan ini.
Juadah buka puasa itu disediakan secara gotong-royong dengan bantuan sukarelawan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) UPM, bermula pada pukul 12.00 tengah hari.
Pegawai Psikologi, HSAAS UPM, Rafidah Sadarudin berkata, sebanyak 16 orang kakitangan terlibat dari HSAAS UPM yang melaksanakan kerja penyediaan bahan, memasak sehinggalah menghidang juadah buka puasa.
“Sukarelawan kami yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat mengambil tanggungjawab menyediakan juadah berbuka.
“Usaha seumpama itu melambangkan keutuhan perpaduan dalam negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau menjelaskan, inilah peluang terbaik untuk UPM berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan, lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan.
“Kita dapat menzahirkan rasa prihatin dengan hati yang ikhlas,” ujarnya.

Sementara itu, Noor Dina Mohd Khairudin, 34, berasa sangat gembira dan teruja kerana inilah pengalaman pertama keluarganya mengikuti tradisi berbuka puasa berkonsepkan makan dalam talam.
Beliau berkata, “Di rumah, kami sekeluarga menikmati juadah buka puasa menggunakan pinggan di atas meja dan tradisi berbuka berkonsepkan makan dalam talam ini sudah tidak lagi diamalkan.”
Amalan makan menggunakan talam juga dapat membantu merapatkan ukhwah kita sesama umat Islam yang lain ketika berbuka puasa di masjid.
Bagi Pegawai Pertanian UPM, Khairul Azmi Za’ba, 38, beliau mengucapkan terima kasih kepada Pusat Islam UPM kerana menyediakan ruang dan juadah untuk berbuka puasa di sini.
“Tradisi berbuka puasa berkonsepkan makan dalam talam ini membuatkan anak-anak saya tidak sabar untuk ke masjid kerana mereka dapat bertemu banyak kawan dan yang paling penting, kami dapat tunaikan solat tarawih bersama-sama selepas berbuka puasa,” katanya.