Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProfesor Madya Dr. Sonny Zulhuda berkongsi pandangannya tentang pertemuan signifikan Pimpinan Pusat Muhammadiyah dengan Perdana Menteri Malaysia dalam konteks hubungan erat serta kepentingannya untuk memperkukuh peradaban Islam di rantau ini.
Pada Isnin, 3 Mac 2025, Pimpinan Pusat Muhammadiyah yang diketuai oleh Ketua Umum Profesor Dr. Kiyai Haji Haedar Nashir mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Pada hari itu, saya menyaksikan dan merasai tenaga serta sinergi yang luar biasa. Terserlah persaudaraan dua buah negara dan usaha penyatuan idea arus perdana, bahkan mereka berhasrat untuk menakar langkah dan jalan bersama-sama.
Kedua-duanya jarang kelihatan duduk berdekatan seperti pada hari itu. Mungkin kerana seorang daripadanya ialah ahli akademik, manakala seorang lagi merupakan ahli politik.
Namun begitu, apabila berbicara tentang gerakan dakwah dan peradaban Islam moden di bumi Nusantara, nama kedua-dua orang tokoh ini mempunyai pengaruh yang sangat besar, terutamanya jika dilihat daripada organisasi besar yang menjadi “rumah” mereka, iaitu Persyarikatan Muhammadiyah di Indonesia dan Angkatan Belia Islam Malaysia atau Wadah Pencerdasan Umat di Malaysia.
Sungguh menarik untuk diperhatikan bahawa kedua-dua tokoh ini mempunyai latar belakang ilmu yang sama: Sosiologi. Maka itu, apabila ahli sosiologi berbicara, pasti wacana mereka diperkaya dengan pelbagai rujukan kesusasteraan dan khazanah ilmu, sama ada daripada sarjana tempatan mahupun pemikir antarabangsa.
Ternyata, dalam perbincangan santai mereka, nama besar seperti Ahmad Dahlan, A. Hassan, Mohd. Natsir, Buya Hamka, Imam al-Nawawi, al-Farabi, Siddiq Fadzil dan Toha Jabir al-Ulwani menjadi rujukan mereka. Saya begitu asyik mengikuti perbincangan kedua-dua orang tokoh ini. Walaupun jarang bertemu, suasana yang terjalin sangat akrab dan penuh kehangatan.
Pertemuan mereka pada awal Ramadan ini menyampaikan mesej tentang gagasan besar peradaban Islam. Perspektif keagamaan, kemasyarakatan, politik dan geostrategi antarabangsa digunakan silih berganti untuk memahami pelbagai fenomena keumatan.
Terdapat harapan besar terhadap kemajuan umat dan kejayaan masyarakat serantau yang bersifat heterogen, bahkan cita-cita besar agar kedua-dua buah negara serumpun ini menjadi pelopor kepada kebangkitan semula Islam.
Cita-cita inilah yang terangkum dalam simbol Islam Berkemajuan yang dibawa oleh Muhammadiyah.
Pada hakikatnya, panji Islam Berkemajuan ala Muhammadiyah yang mempunyai lebih daripada 60 orang juta ahli telah membangunkan ribuan institusi peradaban. Tercatat sebanyak 164 buah universiti, 400 buah hospital dan ribuan sekolah Muhammadiyah yang menjadi landasannya, termasuklah Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) di Perlis.
Tidak hairanlah bahawa terdapat banyak persamaan antara cita-cita Muhammadiyah dengan gagasan Malaysia MADANI yang kini diterajui oleh Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh tersebut.
Pada hari itu juga, kedua-dua orang pemimpin ini berhasrat untuk meneruskan serta memperkukuh tekad, iktikad dan persepakatan dalam usaha menyejagatkan Islam sebagai agama rahmatan li al-alamin.
Saya bersyukur kerana menjadi sebahagian (meskipun kecil) daripada ijtihad ini.
Profesor Madya Dr. Sonny Zulhuda ialah Pensyarah Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.