Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat sejumlah RM105,000 yang diagihkan kepada 150 orang penerima asnaf terpilih di Masjid Darul Salam Padang Keria, baru-baru ini.
Sumbangan tersebut melibatkan sebanyak 75 orang anak kariah Padang Keria dan sebanyak 75 orang lagi anak kariah Permatang Bongor.
Majlis yang dianjurkan secara konsisten oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan untuk meringankan beban keluarga asnaf serta membantu golongan memerlukan di negeri ini.
Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
“Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap sopan santun dan bertimbang rasa. Kepelbagaian kaum di negara ini merupakan asas identiti diri dan penyatuan setiap individu sebagai bangsa Malaysia.
“Golongan pelajar secara khususnya perlu memiliki kesedaran untuk terus mengeratkan perpaduan melalui amalan prinsip-prinsip serta nilai-nilai murni yang terkandung dalam Rukun Negara,” titah baginda.
Sumbangan sebanyak RM700 diberikan kepada setiap penerima bertujuan untuk menampung keperluan harian dan perbelanjaan asas masing-masing.
Pada masa yang sama, majlis turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri serta ceramah berinformasi seperti “Menjauhi Najis Dadah” oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis dan “Bangun Jiwa Asnaf” oleh pihak MAIPs sendiri.