Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melancarkan kempen Bulan Kesedaran Berwakaf dan Berinfak Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025, yang berlangsung di Bazar Ramadan Simpang Empat.
Kempen yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena Program Kayuhan MAIPs Peduli ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat Islam memperbanyak amalan wakaf dan infak sepanjang Ramadan sebagai sebahagian daripada ibadah serta tanggungjawab sosial dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Keberangkatan baginda diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, serta Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Mat Rejab.
Menurut kenyataan media MAIPs, kempen ini turut memperkenalkan skim wakaf tunai yang membolehkan masyarakat berwakaf dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan dan kepentingan pembangunan ummah.
Antara skim yang diperkenalkan termasuklah Wakaf Ilmu bagi menyokong institusi pendidikan, Wakaf Buku dan Kitab untuk membantu penyediaan bahan bacaan pengajian Islam, serta Wakaf Pembinaan dan Penyelenggaraan yang memastikan kelangsungan infrastruktur masjid, surau dan pusat kebajikan Islam.
“Selain itu, inisiatif wakaf khas turut diwujudkan bagi menyediakan bantuan berkaitan kemudahan kesihatan untuk masyarakat yang memerlukan,” jelas MAIPs.
Menurut kenyataan itu lagi, MAIPs turut menggesa umat Islam untuk melaksanakan potongan wakaf daripada gaji secara bulanan melalui majikan masing-masing.
“Langkah ini diharap dapat memudahkan umat Islam berwakaf secara konsisten dan berterusan,” kata MAIPs.
Untuk maklumat lanjut tentang skim wakaf tunai dan cara menyumbang, masyarakat boleh melayari www.maips.gov.my atau terus menyumbang secara dalam talian di bayaran.maips.gov.my.