Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSimpang Empat – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkasakan institusi wakaf di Perlis melalui pelancaran Tabung Wakaf Tunai Masjid-MAIPs (TaWaF) yang berlangsung di Masjid Putra Simpang Empat, semalam.
Menurut kenyataan MAIPs, majlis ini telah disempurnakan oleh Raja Muda Perli,s Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) yang baharu, YBrs. Puan Maizura Shamsuddin.
Yang turut hadir ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf Hartanah dan Mal MAIPs, YBrs. Encik Mohd Nazri Mat Rejab.
YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim menegaskan dalam ucapannya bahawa MAIPs komited untuk memastikan pengurusan dana wakaf dilaksanakan dengan penuh integriti dan ketelusan.
Menurut beliau, TaWaF bukan sahaja berperanan mengumpul dana wakaf, tetapi juga sebagai platform untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan wakaf dalam pembangunan ummah.
Kita mahu menjadikan wakaf sebagai budaya dalam masyarakat.
“Wakaf bukan hanya melibatkan tanah atau aset besar, tetapi juga boleh dilakukan secara tunai dan berperingkat.
“Dengan sokongan semua pihak, inisiatif ini mampu memperkukuh peranan masjid sebagai pusat pembangunan komuniti yang lebih efektif,” ujar beliau.
Tambah beliau, pelaksanaan TaWaF akan dikembangkan ke seluruh negeri Perlis secara berperingkat bagi memastikan lebih banyak masjid dapat terlibat secara langsung dalam usaha memperluas manfaat wakaf kepada komuniti setempat.
Pada masa yang sama, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim turut menyatakan bahawa pelaksanaan TaWaF merupakan satu inisiatif bagi memperkasakan amalan wakaf dalam kalangan masyarakat Islam di Perlis.
Beliau menegaskan bahawa melalui TaWaF, setiap masjid di Perlis akan memiliki tabung wakaf tersendiri yang dikendalikan secara sistematik untuk manfaat jemaah dan masyarakat setempat.
“Dengan adanya TaWaF, kita ingin menggalakkan lebih banyak umat Islam menyumbang kepada wakaf secara tunai, sama ada dalam jumlah kecil ataupun besar dan memperoleh ganjaran berpanjangan,” jelas beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa MAIPs akan bekerjasama dengan pihak masjid dari aspek pengurusan serta promosi TaWaF bagi memastikan keberkesanannya dan menarik lebih banyak penyertaan daripada masyarakat.