Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbangkan Zakat Perniagaannya bagi Tahun 2023 berjumlah RM1 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Jamek Kampung Binjai, Utan Aji, baru-baru ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menerima cek cura tersebut daripada Pemangku Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga TNB, Ir. Dr. Mohamad Fadzil Mohd Siam yang mewakili syarikat berkenaan.
Pada masa yang sama, TNB turut membuat sumbangan sebanyak RM3000 kepada Masjid Jamek Kampung Binjai.
Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin Putra diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda kedua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan disambut oleh Pengurus Besar TNB Negeri Perlis dan Kedah, Encik Wan Ishak Soed dan Ketua Retail TNB Negeri Perlis, Puan Azian Alias.

Dalam majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra berterima kasih kepada pihak TNB dan memaklumkan bahawa meskipun pembayaran zakat ini sudah menjadi rutin, namun perkara tersebut mempunyai signifikan yang amat besar dalam pembangunan ummah, negeri dan juga negara.
Dalam majlis yang sama, MAIPs turut menyalurkan Sumbangan Agihan Zakat bernilai RM105,000 kepada 150 orang penerima yang terpilih daripada kalangan anak kariah Kampung Binjai sebanyak 75 orang dan sebanyak 75 orang lagi dari Kampung Sentua yang disampaikan sendiri oleh baginda berdua.
Setiap asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM700 daripada pihak MAIPs, dengan tambahan sebanyak RM100 daripada pihak TNB, menjadikan jumlah keseluruhan RM800 pada kali ini.
Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan harapan agar hubungan erat antara TNB dengan Perlis terus berkekalan, seterusnya memberikan manfaat yang besar terhadap masyarakat negeri ini.
Baginda juga berharap agar pihak TNB terus berperanan sebagai rakan strategik yang setia dalam usaha membangunkan Perlis ke arah kecemerlangan dan daya saing yang lebih tinggi