Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM19.97 juta kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan, termasuklah Putrajaya dan Labuan sepanjang Ramadan pada tahun ini bagi memastikan program pengimarahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, peruntukan tersebut disalurkan menerusi Bantuan Ihya Ramadan.

“Bantuan Ihya Ramadan tersebut bakal dimanfaatkan oleh lebih 900 institusi Islam dengan sebanyak RM13.5 juta disalurkan kepada 675 buah surau, RM2.82 juta kepada 94 masjid dan RM3.65 juta kepada 146 buah surau Jumaat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Pengurusan dan Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan Masjid dan Surau serta Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan 2025.

Beliau turut mengumumkan bahawa MAIWP akan menyalurkan bantuan Ramadan sebanyak RM500 kepada golongan asnaf di kawasan Wilayah Persekutuan yang melibatkan dana zakat berjumlah RM16.14 juta.

Selain itu, katanya, MAIWP memperuntukkan sejumlah RM9.45 juta bagi meneruskan Program Iftar Rahmah MADANI kepada masjid terpilih untuk penyediaan juadah berbuka memandangkan sambutan baik terhadap program tersebut sebelum ini.

Menurut beliau, MAIWP juga menaikkan sebanyak RM200 bagi imbuhan imam ratib, pembantu bilal dan noja di masjid serta surau Jumaat.

“Kenaikan berkenaan menjadikan setiap seorang akan memperoleh imbuhan antara RM850 hingga RM1550 sebulan mengikut jawatan masing-masing, berkuat kuasa pada Januari lalu,” tambahnya.

Beliau turut mengumumkan kadar zakat fitrah MAIWP bagi tahun 2025 dengan tiga kadar, iaitu RM7, RM15 dan RM22 mengikut jenis beras yang dimakan.

Katanya, pembayaran zakat boleh dilakukan dengan mudah melalui kaunter Pusat Pungutan Zakat (PPZ), PPZ-MAIWP, amil bertauliah, serta perbankan dalam talian dan e-dompet.

Beliau berharap masjid dan surau terus makmur sebagai pusat dakwah, pendidikan dan kebajikan.

Kredit Foto: Facebook Dato' Setia Dr. Naim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi