Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Sheikh Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, semalam.
Menurut Perdana Menteri, pertemuan tersebut menjadi medan perkongsian pandangan tentang usaha memperkukuh kerjasama Malaysia–Mesir susulan pertemuan beliau dengan Presiden Republik Arab Mesir, Abdel Fattah El-Sisi pada November 2024 lalu.
“Sheikh Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari turut menyatakan dukungan penuh terhadap konsep MADANI yang berkaitan rapat dengan asas peradaban Islam serta sejarahnya yang mengakar dalam wacana ilmiah dan siasah Islam kontemporari,” katanya dalam hantaran pada laman Facebook rasmi beliau.
Beliau juga bersetuju untuk bekerjasama dalam penganjuran konvensyen dan seminar pengukuhan Malaysia MADANI dari perspektif peradaban Islam, yang melibatkan para ulama, pemikir dan sarjana Islam semasa dari Mesir dan dunia Islam.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Wakaf Mesir akan memberikan dukungan terhadap pelaksanaan program pembangunan insan dalam kalangan pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir selaras dengan usaha melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
“Moga hubungan erat Malaysia–Mesir bertambah kukuh, termasuklah menerusi peranan Universiti Al-Azhar dalam usaha memperkasakan peradaban Islam dan kecemerlangan watan pada masa akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Kementerian Wakaf Republik Arab Mesir menerusi kenyataannya berkata, pertemuan tersebut juga menyentuh isu Palestin yang menegaskan sokongan Malaysia tidak berbelah bahagi terhadap pendirian Mesir dalam usaha menanganinya, selain mencerminkan perpaduan umat Islam untuk mempertahankan hak rakyat Palestin.
Menteri Wakaf menegaskan kesediaan Mesir menyokong Malaysia untuk membendung pemikiran radikal termasuklah menghantar ulama dari Mesir bagi membantu menyebarkan pemikiran Islam yang berteraskan kesederhanaan dan memperkukuh ajaran agama yang sebenar.
Jelas pihaknya lagi, kerjasama antara kedua-dua buah negara tersebut tidak terbatas kepada sokongan dalam bidang keagamaan, tetapi merangkumi pelaksanaan program secara bersama untuk mendalami kefahaman Islam yang sebenar serta mengaitkannya dengan kemajuan sains dan inovasi.