Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 24 Februari 2025, 21:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Majlis Muzakarah Ulama Islam Selangor bersama Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Sheikh Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari berlangsung di Mardhiyyah Hotel and Suites semalam menyaksikan pengukuhan kegiatan dakwah secara wasatiyah, selain pertukaran pengalaman dalam bidang keilmuan antara kedua-dua pihak.

Selain itu, sesi pertemuan tersebut membincangkan inisiatif untuk memperkasakan kerjasama institusi agama daripada kedua-dua pihak khususnya dalam aspek latihan imam dan pendakwah, pertukaran kajian ilmiah dalam bidang syariah serta mekanisme pemeliharaan turath Islam.

Sheikh Dr. Usamah al-Sayyid al-Azhari dalam ucapannya berkata, pertemuan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah susulan komprehensif untuk melaksanakan Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani antara kedua-dua buah negara pada November 2024 lalu.

Di samping itu, beliau menekankan kepentingan memulihkan kefahaman salah yang tersebar dalam kalangan belia dengan menjelaskan nilai sebenar dan gambaran yang tepat tentang ajaran Islam.

Tasawuf berperanan untuk membina manusia yang beretika, selain membersihkan diri daripada sifat dengki dan takbur yang menjadi faktor utama kepada pembentukan ideologi ekstremisme dan keganasan.

Tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) ialah benteng utama dalam usaha mengekang keganasan dan titik permulaan sebenar untuk membentuk insan berdasarkan nilai kehalusan budi, ketinggian adab, rasa cinta dan setia kepada tanah air,” ujarnya.

“Pemahaman tasawuf yang mendalam dapat mengukuhkan keseimbangan spiritual seseorang, menjadikannya lebih sedar akan tanggungjawab terhadap diri sendiri dan masyarakat,” katanya lagi dalam pertemuan tersebut.

Tambah beliau, kepentingan pengembalian kepada inti pati tasawuf yang berasaskan penyucian jiwa dan pemerkasaan rohani selaras dengan manhaj al-Azhar dalam usaha menyebarkan dakwah berteraskan kesederhanaan dan toleransi.

Sementara itu, Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YBhg. Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir turut memuji usaha yang dilakukan untuk memperkukuh kerjasama antara institusi agama di Mesir dengan Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa pertemuan seperti ini memperkukuh kedudukan hubungan antara kedua-dua buah negara dalam dunia Islam serta kepentingan meneruskan kerjasama menerusi pertemuan ilmiah secara berkala.

Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh nilai keharmonian dan keamanan dalam kalangan masyarakat Mesir dan Malaysia, serta melaksanakan ketetapan dalam Memorandum Persefahaman untuk mencapai matlamat bersama dan mengukuhkan kedudukan Islam berteraskan kesederhanaan pada peringkat global.

Yang turut serta dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam Mesir, Profesor Dr. Muhammad Abdul Rahim al-Bayoumi; Setiausaha Akhbar Menteri Wakaf Republik Arab Mesir, Mahmoud al-Jallad; ulama Mesir, Sheikh Ahmed Hussein Al-Azhari; Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, YBhg. Dato’ Dr. Muhammad Ayman Al-Akiti; agamawan dan ahli akademik.

Kredit Foto: Facebook - Kementerian Republik Arab Mesir
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi