Diterbitkan pada 21 Februari 2025, 09:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan melantik Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin sebagai pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu, berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.

Menurut setiusaha sulit baginda, Dato’ Mohamad Munir Bani, pengisian jawatan berkenaan dilakukan dengan segera berikutan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj amat mengambil berat urusan pentadbiran dan pembangunan institusi agama Islam demi syiar Islam di negeri ini.

DYMM Sultan Selangor berkenan dengan permohonan Pengerusi MAIS sebelum ini, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk memendekkan tempoh perkhidmatannya atas faktor kesihatan, berkuat kuasa pada 28 Februari ini.

“Baginda berkenan dan menitahkan Salehuddin mengambil alih jawatan pengerusi MAIS dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab berkuat kuasa mulai 1 Mac 2025,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata DYMM Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Abdul Aziz yang telah melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik dan cemerlang semenjak dilantik pada tahun 2021.

Tambahnya, baginda turut mendoakan agar Tan Sri Abdul Aziz sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT serta dikurniakan kesembuhan dan kesihatan yang baik.

MAIS memaklumkan bahawa Senator Dato’ Setia Salehuddin merupakan seorang peguam bela dan peguam cara serta pernah menjawat beberapa jawatan penting kerajaan, antaranya termasuklah Timbalan Pendakwa Raya, Unit Jenayah Komersial di Jabatan Peguam Negara pada tahun 1994 hingga tahun 2001 dan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Selangor (2003–2006).

Beliau juga merupakan anggota MAIS dari tahun 2007 hingga kini, selain turut memegang jawatan sebagai Ahli Dewan di-Raja Selangor sejak tahun 2016.

Kredit Foto: https://salehuddinsaidin.com/team/salehuddin-saidin/
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi