Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkukuh kerjasama strategik bagi tahun 2025.
Inisiatif ini bertujuan untuk memelihara warisan budaya negeri serta merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan produk tempatan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin mempersembahkan perkara ini kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi sembah mengadap di Galeri DiRaja Arau, baru-baru ini.
Dalam pertemuan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agar UiTM terus mengukuhkan hubungan dengan Persatuan Alumni kerana alumni berperanan sebagai sumber pendapatan, wakaf dan inspirasi kepada pelajar.
“Alumni juga boleh bertindak sebagai duta UiTM Perlis dalam memperkenalkan institusi ini kepada masyarakat luar,” titah baginda.
Pertemuan ini merupakan kunjungan hormat rasmi pertama Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil yang dilantik pada 4 November 2024 yang lalu, serta Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Nizan Mat Noor yang memulakan tugas pada 15 November 2024.
UiTM turut merancang untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dengan Kerajaan Negeri Perlis dalam usaha memperkenalkan serta mempromosikan produk tempatan.
Pada masa yang sama, UiTM mengharapkan kerjasama tersebut dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.