Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Sebanyak 300 orang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerima sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang bernilai RM90,000.
Sumbangan tersebut disampaikan dalam Majlis Agihan Zakat MAIPs di Masjid An-Nur UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau, baru-baru ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyerahkan sendiri sumbangan kepada pelajar terpilih, dengan setiap penerima menerima sebanyak RM300.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pelajar bukan sahaja membawa nama diri dan keluarga tetapi juga institusi pengajian tinggi serta negeri.
“Berusahalah untuk menjadi insan yang sentiasa gigih berusaha dalam menghadapi walau apa-apa jua cabaran yang mendatang.
“Berfikirlah secara kritis dan kreatif untuk mencari penyelesaian bagi setiap permasalahan yang dihadapi, serta sentiasalah menjaga akhlak dan integriti, kerana hal yang demikian merupakan asas kepada kepercayaan dan kejayaan yang berkekalan,” titah baginda.
Turut menyambut keberangkatan baginda berdua ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil dan Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin.
Selain menerima bantuan kewangan, para pelajar turut menjalani pemeriksaan kesihatan percuma dan menghadiri ceramah motivasi.
Antara ceramah yang disampaikan termasuklah “Menjauhi Najis Dadah” oleh Agendi Antidadah Kebangsaan Perlis serta “Bangun Jiwa Asnaf” oleh MAIPs.