Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Masjid Negara Malaysia dan Hospital Pakar Pusrawi Kuala Lumpur menganjurkan Seminar Ambang Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan dalam usaha meningkatkan kefahaman khalayak tentang hukum-hakam puasa Ramadan.
Seminar yang bertemakan “Membangun Ummah Madani” itu melibatkan sebanyak 230 orang peserta daripada pelbagai pihak seperti pertubuhan badan bukan kerajaan dan pegawai kerajaan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Perasmian seminar tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi JAWI, YBrs. Tuan Haji Kamaldin Mohd Damin di Dewan Syarahan Masjid Negara, semalam.
Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, penganjuran seminar tersebut merupakan sebuah platform untuk para peserta memperkukuh kefahaman tentang ibadat puasa dan melakukan persediaan menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba.
Seminar ini amat penting untuk memastikan kita memasuki bulan Ramadan dengan ilmu, kefahaman dan persiapan yang secukupnya.
Tambah beliau lagi, antara objektif lain yang digariskan dalam seminar ini termasuklah untuk memberikan panduan kepada para peserta tentang isu kontemporari yang berlaku dalam ibadat puasa, selain memberikan penerangan mengenai kaedah penentuan permulaan hari puasa Ramadan melalui kaedah rukyah dan hisab.
Selain itu, beliau berharap para peserta yang hadir seminar tersebut bukan sahaja dapat mengamalkan ilmu yang diperoleh dalam bulan Ramadan, malah turut meneruskannya dalam kehidupan seharian.
Terdahulu, antara pengisian yang diadakan dalam seminar tersebut termasuklah sesi forum bertajuk “Diterimakah Puasaku Selama Ini?” yang menampilkan dua orang ahli panel, iaitu Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YBrs. Dr. Abdul Muhaimin Mahmood dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga Hospital Pusrawi, YBrs. Dr. Ahmad Ihsan Abu Bakar.
Forum tersebut membicarakan tentang latar belakang pensyariatan puasa pada bulan Ramadan, kepentingan bulan berkenaan kepada umat manusia, manfaat puasa terhadap kesihatan tubuh dan petua untuk kekal bertenaga sepanjang melakukan ibadat puasa.
Program dwitahunan oleh Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI itu juga mengupas isu yang cukup signifikan menerusi pembentangan kertas kerja bertajuk “Kaedah Penetapan Awal Ramadan di Malaysia” oleh Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Kajian Falak, Bahagian Penyelidikan JAKIM, YBrs. Ustaz Shahril Azwan Hussin.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, YBrs. Puan Imlah Abd Aziz; Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, YBrs. Puan Suraiti Alias; ahli Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA) dan Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD).