Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT,

Maksudnya: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu, wahai Muhammad), kitab yang penuh keberkatan untuk mereka memahami dengan meneliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”
(Surah Sad 38:29)
Istilah hufaz merujuk golongan yang menghafal 30 juzuk al-Quran. Di Malaysia, lazimnya mereka dikenali sebagai “al-Hafiz”, iaitu insan yang diharapkan menjadi sumber daya insani pada masa hadapan. Hufaz profesional pula merujuk golongan yang menghafal al-Quran yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam bidang profesional, termasuklah pendidikan, perubatan, kejuruteraan, seni bina, ekonomi, teknologi, perundangan serta keusahawanan.
Kemuliaan dan kesucian al-Quran akan terus kekal terpelihara merentasi zaman berpandukan jaminan Allah SWT menerusi firman-Nya:

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
(Surah al-Hijr 15:9)
Para ilmuwan tafsir menyifatkan kesucian ayat al-Quran akan terpelihara dalam dada para penghafal al-Quran. Maha Suci Allah SWT, yang menciptakan al-Quran yang mengandungi 114 surah, 6236 ayat, 77439 kalimah dan 323 371 huruf, disusun dalam 30 juzuk; mudah dibaca dan boleh dihafal. Rasulullah SAW menggambarkan kemuliaan para penghafal al-Quran melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah terdapat ahli-Nya dalam kalangan manusia. Mereka bertanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah mereka?’ Jawab Baginda SAW, ‘Mereka ialah ahli al-Quran, ahlullah dan yang diistimewakan-Nya.’” (Hadis riwayat Ibn Majah).
Ilmuwan Islam menjelaskan bahawa perkataan ahlullah menggambarkan kemuliaan dan keistimewaan para penghafaz al-Quran yang mengamalkan dan berakhlak al-Quran.
Menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara, kerajaan menyasarkan untuk melahirkan sebanyak 125 ribu hufaz profesional menjelang tahun 2050 melalui pelbagai institusi tahfiz di seluruh negara. Telah terbukti bahawa para pelajar yang menghafal al-Quran, turut berupaya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik, kemahiran, kokurikulum dan kepimpinan. Maahad Tahfiz Negeri Pahang sebagai contoh, telah diumumkan sebagai sekolah yang mencapai keputusan terbaik peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2023.
Berkat mukjizat al-Quran serta kejernihan hati, kemahiran teknik menghafal al-Quran yang dimiliki oleh para hufaz, telah membina daya kekuatan ingatan dan memudahkan mereka untuk memahami serta mengingati ilmu yang dipelajari. Sesungguhnya para hufaz hendaklah dididik dengan kaedah yang bijak, diberi pendedahan dalam pelbagai bidang profesional agar mereka menjadi khazanah bernilai, selain berperanan sebagai sumber tenaga pakar yang produktif kepada negara dan dunia.
Untuk menghadapi dunia yang semakin mencabar, umat Islam perlu mempunyai keseimbangan antara ilmu agama dengan pengetahuan duniawi. Berdasarkan ayat 29, Surah Sad, al-Syaukani mentafsirkan bahawa al-Quran bukan hanya perlu dibaca dan dihafal, bahkan lebih daripada itu, al-Quran mesti ditadabur – difahami maknanya, dihayati serta dijadikan panduan ketika mengatur urusan kehidupan manusia agar mendapat reda Ilahi.
Yang berikut merupakan kelebihan dan kepentingan hufaz profesional dalam kehidupan masyarakat Islam:
Pertama: Mengharmonikan ilmu wahyu dan ilmu akal.
Hufaz profesional berperanan mengharmonikan antara ilmu wahyu dengan ilmu akal menerusi nilai Islam. Gabungan hafalan al-Quran dan kemahiran profesional bukan sekadar menjadikan mereka agamawan, tetapi turut berperanan sebagai pemimpin dan teladan dalam pelbagai bidang, khususnya apabila mereka berupaya menjelmakan keindahan al-Quran, lalu menerapkan semangat al-Quran dalam profesion masing-masing.
Misalnya, doktor yang hafiz al-Quran, akan mengamalkan etika perubatan berlandaskan Islam, berniat untuk membantu pesakit dan bukannya untuk mengaut keuntungan dengan mengenakan bayaran yang tinggi atas penderitaan pesakit serta keluarganya.
Hakim yang hafiz al-Quran pula akan mengadili sesuatu kes dengan ketelitian serta menjatuhkan hukuman secara adil tanpa memihak kepada pihak yang bersalah walaupun berdarjat tinggi dan berjawatan besar. Sementara itu, peguam yang hafiz akan takut kepada Allah SWT dan tidak mencipta pelbagai helah untuk membebaskan seseorang penjenayah dengan merasuah saksi sehingga saksi sanggup berdusta.
Peniaga yang hafiz tidak akan mengaut keuntungan berlebihan dengan menipu pembeli dan pelanggan. Selain itu, pemimpin yang hafiz akan mengamalkan sifat jujur, ikhlas dan amanah dan tidak akan melakukan rasuah, menyalah guna kuasa ataupun bersifat munafik.
Kedua: Meningkatkan kualiti ummah.
Para hufaz yang menguasai kemahiran profesional berupaya menyerlahkan imej Islam yang cemerlang dan bertenaga di mata dunia. Hal tersebut secara tidak langsung membuktikan bahawa Islam bukan agama yang jumud, malah agama yang mendorong kemajuan dan kecemerlangan yang merangkumi kejayaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.
Ketiga: Menerokai dan menghayati mutiara berharga yang terkandung dalam al Quran.
Para hufaz yang tersemai ayat suci al-Quran dalam dadanya perlu menerokai kemukjizatan al-Quran dengan menyelidiki, menyelami, mengkaji dan memperhalus maksud yang terkandung dalam al-Quran selain menghayati falsafah yang tersurat ataupun tersirat untuk diamalkan ketika menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.
Dapat diperhatikan bahawa minat untuk menghafal al-Quran semakin meningkat berdasarkan pengajian tahfiz yang semakin mendapat sambutan. Hufaz profesional memiliki kelebihan yang istimewa dalam kerjaya dan kehidupan, berupaya mengimbangi kepakaran duniawi seiring matlamat ukhrawi yang dapat memberikan manfaat besar kepada masyarakat.
Oleh itu, umat Islam digalakkan menghafal al-Quran sedaya upaya dengan menumpukan surah sederhana dan ringkas termasuklah Surah Yasin, al-Mulk, al-Rahman dan al-Waqiah, bermula dengan menghafal surah lazim agar kehidupan dilimpahkan rahmat dan keberkatan Ilahi.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 14 Februari 2025, bertajuk “Hufaz Profesional: Mengimbangi Kepakaran Duniawi”.