Diterbitkan pada 13 Februari 2025, 22:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memperluas usaha melahirkan generasi hufaz cilik dengan menubuhkan 4000 kelas TABIKA Pratahfiz yang membabitkan 60000 kanak-kanak di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan pendidikan al-Quran terus menjadi tunjang membina generasi pewaris negara yang berakhlak, berilmu dan berdaya saing.

“Pada tahun 2023, KEMAS telah melakukan satu langkah proaktif dengan menjadikan pendidikan al-Quran sebagai teras utama dalam pembentukan kanak-kanak Islam di TABIKA KEMAS,” katanya dalam satu kenyataan,

Tambah beliau, matlamatnya adalah jelas, iaitu untuk melahirkan generasi hufaz cilik yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran bagi surah dalam Juzuk Amma tetapi juga memahami adab dan tadabur dalam kehidupan mereka.

Menurut beliau, usaha ini bermula dengan pelaksanaan rintis di 100 TABIKA KEMAS, melibatkan 1500 kanak-kanak dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehingga pada tahun 2024, penyertaan meningkat kepada 55269 kanak-kanak.

Beliau percaya inisiatif ini membuktikan bahawa masyarakat menyambut baik usaha KEMAS untuk memperkukuh nilai Islam dalam sistem pendidikan awal kanak-kanak negara.

Namun, katanya, kejayaan pendidikan semata-mata tidak mencukupi.

“Kita perlu berani melangkah lebih jauh dengan memastikan setiap program pembangunan komuniti berjalan secara lebih strategik, lebih tersusun, dan lebih berimpak tinggi,” jelas beliau.

Beliau berkata, pada tahun ini, setelah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merangka satu hala tuju baharu, KEMAS akan turut mengukuhkan pendekatan Cross-Functional yang bukan sahaja merentas semua bahagian dalaman KEMAS tetapi juga menggabungkan kepakaran pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta.

Jelas beliau, sebagai sebahagian daripada transformasi ini, KEMAS juga akan merombak struktur program utama seperti Hari POTENSI TABIKA KEMAS, Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku (WINS), Festival Kesenian Islam (iFest) dan program lain yang akan disatukan di bawah satu program utama yang dikenali sebagai Festival KEMAS (FESMA).

Tambah beliau, langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi seperti logistik, penyewaan dan tenaga kerja, malah meningkatkan keberkesanan dan kesepaduan program yang dilaksanakan.

Katanya, anjakan ini ialah strategi konkrit untuk memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau yakin dengan langkah strategik ini, KEMAS akan terus menjadi pemacu perubahan dalam membina sebuah negara yang maju dan masyarakat desa yang lebih dinamik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi