Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada tahun ini memperuntukkan RM1.8 juta untuk kegunaan Darul Quran (DQ) MAIK dalam melahirkan huffaz yang berkualiti.
Peruntukan tersebut termasuklah untuk perbelanjaan utiliti, elaun pelajar, pembangunan akademik, pengurusan hal ehwal pelajar dan program pembangunan sahsiah.
Terdahulu, sebanyak 32 orang huffaz telah diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan al-Quran Pelajar Darul Quran MAIK Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, semalam.
Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, YAB Dato’ Haji Mohd Anis Hussein, Timbalan Yang Dipertua MAIK itu turut menyaksikan tiga orang pelajar, iaitu Amirul Aiman Ismail, Muhammmad Umar Aqil Zamri dan Muhammad Aidil bin Mohd Zamri menerima Anugerah Kecemerlangan Hafazan. Masing-masing turut menerima hadiah wang tunai RM500.
MAIK menerusi peruntukan wang zakat telah menawarkan program bantuan pelanjutan pengajian ke institusi pengajian tinggi seperti Biasiswa Sultan Ismail Petra MAIK.
Biasiswa tersebut ialah tawaran tajaan kepada pelajar lepasan Darul Quran MAIK pada peringkat ijazah pertama di luar negara.
Sementara itu, MAIK menerusi kenyataan dalam laman FB berkata, “Sehingga Januari 2025, MAIK telah menaja 20 orang pelajar lepasan Darul Quran MAIK untuk menyambung pengajian di Mesir dan Indonesia.”
Usaha tersebut menurut MAIK merupakan keutamaan dan komitmen pihaknya untuk melahirkan generasi huffaz berkualiti.
Majlis Khatam Hafazan al-Quran Pelajar Darul Quran MAIK Tahun 2025 turut dihadiri oleh Setiausaha MAIK, YBrs. Tuan Haji Muhamad Rasani Ramli dan Mudir DQ MAIK, Ustaz Haji Mahamad Azmi Zakaria.