Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid merasmikan Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah yang terletak di Pangsapuri Warisan Tanjung, Tanjung Tokong, daerah Timur Laut, Pulau Pinang, baru-baru ini, yang bakal memberikan manfaat kepada penduduk setempat dalam usaha menambah ilmu pengetahuan.
Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) berkata, penubuhan perpustakaan ini hasil kerjasama Wakaf Pulau Pinang Sdn. Bhd. (WPP), MAINPP dan PPAPP.

“Satu mesyuarat jawatankuasa telah diadakan pada 21 Januari 2025 lalu dan sama-sama bersetuju perpustakaan itu diberi nama Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah”.
Menurutnya, PPAPP mempunyai peranan bagi mengurus perpustakaan tersebut ke tahap terbaik setelah seorang penduduk, YBhg. Dr. Imran Abdul Khalid bersama-sama adiknya, YBhg. Dr. Nabeelah Abdul Khalid bersetuju mewakafkan dua unit rumah unit rumah mereka yang beralamat di No. 1K-3-3 dan 1K-3-3A bagi tujuan ini.
Penubuhan perpustakaan ini bukan sahaja membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat Tanjung Tokong, malah turut menyediakan kemudahan kepada pelajar untuk mengulang kaji pelajaran serta melaksanakan pelbagai aktiviti bermanfaat.
Sebelum ini, pada 27 Mac 2024, WPP bersama-sama MAINPP dan PPAPP telah mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan hala tuju serta tindakan lanjut berkaitan dengan dua unit premis kediaman tersebut, susulan lawatan tapak yang diadakan pada 17 April 2024.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf MAINPP, YBhg. Tuan Abdul Mohsein Mohd Shariff, memuji keprihatinan pemilik rumah yang sudi mewakafkan kediaman mereka bagi menjayakan penubuhan perpustakaan ini.
“Melalui perbincangan yang baik ketiga-tiga agensi itu, akhirnya berjaya mengangkat rumah kediaman menjadi Perpustakaan Wakaf Hajah Gayah yang pasti dikunjungi dan menarik di Pulau Pinang,” ujarnya.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh Pengarah PPAPP, Norlina Ahmad; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman; Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad; dan Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad.