Diterbitkan pada 28 Januari 2025, 11:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang berdedikasi menjalankan kerja kebajikan, Alkhair Malaysia, mengambil langkah signifikan dengan melantik pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai Duta Kebaikan bagi tahun 2025, berkuat kuasa bermula pada 1 Januari lalu.

Dengan tujuan memperkukuh usaha Alkhair Malaysia mempromosikan aktiviti kemanusiaan pada peringkat tempatan dan antarabangsa, satu majlis simbolik antara Ustaz Don Daniyal dengan Pengerusi Alkhair Malaysia, YBrs. Ustaz Azfar Abdullah menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani diadakan pada 23 Januari lalu.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Alkhair Malaysia, YBrs. Ustaz Mohd. Luqmannulhakim, dan Ketua Pegawai Oprasi Kumpulan Agami, YBrs. Norhana Osman Haron.

Ustaz Azfar menyatakan rasa besar hati beliau dan Alkhair Malaysia kerana Ustaz Don Daniyal bersetuju menjadi Duta Kebaikan.

“Dedikasi beliau untuk menyebarkan kebaikan dan pengaruhnya yang luas menjadikan beliau seorang penyokong yang ideal bagi misi kami,” ujarnya.

Dengan kerjasama Ustaz Don Daniyal, Alkhair Malaysia yakin dapat memperluas jangkauan dan impaknya, serta menginspirasikan lebih banyak individu untuk menyertai usaha kebajikan mereka.

Sementara itu, Ustaz Mohd. menjelaskan kerjasama Alkhair Malaysia-Ustaz Don akan memberikan tumpuan kepada beberapa inisiatif utama, termasuk memperluas program bantuan kecemasan di kawasan pedalaman, meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya pendidikan berkualiti, serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.

“Diharapkan kerjasama ini akan memberikan impak positif kepada ribuan individu di seluruh negara,” tambah beliau.

Ketika ditanya tentang pelantikan tersebut, Ustaz Don menyatakan kesyukuran kerana dapat bangkit dan aktif dalam lapangan dakwah.

“Setelah dilantik sebagai Duta Kebaikan Alkhair, saya bersyukur sekali gus memberikan sokongan sepenuhnya terhadap Alkhair dalam memperjuangkan usaha murni mereka,” ujar beliau.

Ustaz Don turut berasa teruja menjadi sebahagian daripada keluarga Alkhair Malaysia dan berharap dapat bersama-sama mewujudkan perubahan yang positif dalam kehidupan orang lain.

Kredit Foto: Fariza Saidin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi