Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT,

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidilharam (di Makkah) ke Masjidilaqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati di sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
(Surah al-Isra’ 17:1)
Umat Islam di Malaysia menyambut peristiwa Israk Mikraj pada hari Isnin, 27 Rejab 1446 Hijrah bersamaan dengan 27 Januari 2025. Peristiwa ini mengingatkan kita betapa agungnya kekuasaan Allah SWT yang terkandung pelbagai hikmah dan pengajaran yang boleh dirungkaikan untuk dihayati dan direnungi demi kebaikan umat Islam.
Semasa peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW diangkat ke Sidratulmuntaha dan di sanalah Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan malaikat Jibril memerintahkan umat Islam mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Perintah solat yang disampaikan secara langsung kepada Rasulullah SAW menandakan ketinggian ibadat solat dalam Islam, iaitu kewajipan yang wajib dipelihara sebaik-baiknya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solat. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalannya, dan jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruh amalannya.” (Hadis riwayat al-Tabarani).
Oleh itu, hayatilah perintah yang disampaikan secara langsung kepada Rasulullah SAW. Solat ialah tiang agama, kewajipan yang wajib dipenuhi mengikut waktu yang ditetapkan. Dalam apa-apa jua keadaan, solat hendaklah diutamakan, tidak boleh diabaikan, tidak boleh diringankan kerana solat ialah amalan pertama yang bakal dihisab di Padang Mahsyar.
Masjidilaqsa dipilih oleh Allah SWT sebagai tempat persinggahan Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk Mikraj. Masjidilaqsa yang terletak di bumi Palestin ialah kiblat pertama umat Islam, merupakan tanah suci umat Islam, bumi yang dikaitkan dengan sejarah para rasul dan nabi selain bumi yang mempunyai nilai yang mendalam dalam sanubari umat Islam.
Bersempena dengan peristiwa Israk dan Mikraj, marilah kita mengimbas dan merenung akan keadaan sedih dan penderitaan ummah yang sedang berlaku di bumi Palestin, bumi para anbia, bumi terletaknya Masjidilaqsa. Yang berikut merupakan beberapa pengajaran dan peringatan daripada peristiwa tersebut:
Pertama: Perjuangan membebaskan Masjidilaqsa menjadi lambang perjuangan menentang penindasan, kezaliman, ketidakadilan dan pelanggaran hak asasi manusia.
Kedua: Pentingnya pemupukan perpaduan dalam kalangan umat Islam. Di Palestin, berlaku perpecahan dalaman antara beberapa kumpulan politik. Keadaan tersebut selain memberikan kesan negatif kepada negara dan rakyat Palestin, telah membuka ruang kepada pihak musuh yang mengambil kesempatan untuk melemahkan perjuangan rakyat Palestin. Oleh itu, untuk menghadapi apa-apa jua cabaran yang berpotensi menggugat perpaduan, sama ada perbezaan fahaman dan kabilah politik ataupun manhaj akidah, umat Islam di Malaysia wajib mengutamakan semangat ukhuwah islamiah yang menjadi teras keutuhan perpaduan umat Islam.
Ketiga: Cakna dan mengambil berat tentang hak asasi manusia. Di Palestin, pelanggaran hak asasi manusia berlaku secara keterlaluan, dilakukan melalui rampasan tanah, pemusnahan prasarana dan kemudahan awam, serta pembunuhan orang awam termasuklah warga tua, wanita dan kanak-kanak. Malaysia hendaklah mengambil pengajaran daripada penderitaan rakyat Palestin untuk lebih cakna terhadap hak asasi manusia serta mengatur langkah bagi memastikan keadilan sosial terjamin bagi semua lapisan masyarakat.
Keempat: Dari sudut ekonomi, Palestin menjadi contoh bagaimana penindasan ekonomi digunakan sebagai alat untuk melemahkan sesuatu bangsa. Rakyat Palestin dikenakan sekatan ekonomi yang menyebabkan kesukaran hidup, pengangguran tinggi dan kekurangan sumber asas. Penderitaan rakyat Palestin hendaklah dijadikan iktibar ke arah memupuk semangat perpaduan ekonomi dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu golongan yang terpinggir dan golongan yang berada dalam keadaan yang tertinggal pada ketika ini.
Kelima: Memartabatkan pendidikan. Walaupun berdepan pelbagai sekatan, rakyat Palestin sangat menitikberatkan pendidikan sebagai usaha untuk memajukan masyarakat mereka. Pendidikan hendaklah dijadikan medan untuk Malaysia meningkatkan kesedaran generasi muda di negara ini tentang erti pembangunan, kemajuan, perpaduan, keadilan, nilai moral dan kemanusiaan dan nikmat berada dalam sebuah negara yang merdeka, aman lagi makmur.
Keenam: Pengaruh media terutamanya media Barat yang berada di bawah pengaruh Zionis Israel yang sering memutarbelitkan fakta memberikan gambaran buruk terhadap umat Islam di bumi Palestin. Agenda tersebut bertujuan untuk melemahkan sokongan dunia terhadap Palestin. Penyebaran maklumat palsu, apatah lagi penyebaran fitnah boleh memecahbelahkan masyarakat. Rakyat di negara ini perlu menjadikan pengajaran untuk memastikan hanya maklumat yang benar dan sahih disebarkan, di samping memulaukan sumber berita palsu. Pada masa yang sama memperkukuh sokongan kepada media yang menyampaikan berita yang benar, sahih dan tepat.
Ketujuh: Penderitaan rakyat Palestin melibatkan soal kemanusiaan yang memerlukan sokongan dan solidariti menyeluruh tanpa mengira latar belakang politik. Memanipulasi isu Palestin untuk mendapat laba politik hanya akan memburukkan keadaan dan mengalih perhatian daripada keperluan sebenar untuk mencapai penyelesaian yang adil dan damai. Oleh itu, semua pihak perlu bersatu atas dasar kemanusiaan untuk menyokong hak-hak rakyat Palestin.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 24 Januari 2025, bertajuk “Israk Mikraj: Pengajaran dari Bumi al-Aqsa.”