Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSintok – Langkawi bakal menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Langkawi 2025: Matlamat Pembangunan Mampan Islam (iSDG 2025) pada 1 Februari 2025 hingga 2 Februari 2025.
Persidangan tersebut melibatkan 24 orang cendekiawan dan profesional Muslim, termasuklah 17 orang pakar antarabangsa dan tujuh orang pakar tempatan.
Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM), Profesor Dr. Ram Al Jaffri Saad berkata, “Penganjuran persidangan ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang semakin relevan dalam pelbagai bidang terutamanya usaha mengarah dan membimbing organisasi dan komuniti untuk mencapai kesejahteraan sejagat seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.”
Beliau menegaskan, “Memandangkan prinsip SDG yang selari dengan nilai agama dilihat dapat membantu keputusan yang bijak dan bertanggungjawab dalam kelestarian alam, keadilan sosial dan tadbir urus yang baik, maka cendekiawan dan ulama ini dijemput sebagai penceramah untuk memberikan pandangan mereka dalam konteks Islam.”
Menurut beliau lagi, antara pengisian persidangan termasuklah sesi ceramah, perbincangan kumpulan dan pameran.
Antara penceramah jemputan termasuklah Dr. Zakir Naik (Malaysia), Dr. Omar Suleiman (Amerika Syarikat), Dr. Muhammad Salah (Mesir) dan Dr. Bilal Philips (Kanada).
Penganjuran Persidangan iSDG 2025 merupakan kerjasama antara International Khayr Ummah Foundation (IKAF) dengan Universiti Utara Malaysia (UUM), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Persidangan tersebut juga bakal melibatkan wakil industri yang membincangkan pencapaian SDG melalui perspektif Islam.
Orang awam yang berminat boleh menghubungi talian 017-4455267 (Razak) untuk maklumat lanjut.
Warga Langkawi dijemput menghadiri persidangan tersebut untuk mendapatkan pandangan bernas daripada pakar Islam tempatan dan antarabangsa.