Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBermula pada 16 Disember yang lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengeluarkan surat tawaran secara berperingkat kepada insan yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Kuota rakyat Malaysia tertakluk pada kuota rasmi yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi berdasarkan keputusan Mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Islam Sedunia pada tahun 1988.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua insan yang terpilih menjadi duyuf al-Rahman untuk musim haji tahun 1446H.
Penulisan ringkas ini bertujuan untuk berkongsi sedikit pengetahuan dan juga peringatan kepada pembaca tentang perkara yang berkaitan dengan ibadat haji sebagai panduan bersama. Terdapat banyak perkara yang perlu kita terus belajar (learn) dan terdapat juga keperluan membuang pemahaman tidak betul tentang perkara yang pernah dipelajari (unlearn) dan sentiasa bersedia untuk belajar semula (relearn). Kadangkala, terdapat pemahaman yang berakar sejak sekian lama yang memerlukan pembetulan dan islah seperti konsep istita‘ah atau kemampuan menunaikan haji.
Konsep Istita‘ah dan Peranan TH
Rasulullah SAW sepanjang hidupnya menunaikan umrah sebanyak empat kali dan haji sebanyak sekali. Sebagai rukun Islam yang kelima, haji merupakan suatu kefarduan bagi setiap Muslim. Namun begitu, syariat mengikatnya dengan syarat kemampuan bagi seseorang Muslim untuk diwajibkan memenuhi perintah haji sebagaimana yang termaktub dalam firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 97 yang bermaksud,
Di sana terdapat tanda-tanda yang jelas, (antaranya) makam Ibrahim. Barang siapa memasukinya (Baitullah), maka amanlah dia. Dan (antara) kewajipan manusia terhadap Allah adalah dengan melaksanakan ibadat haji ke Baitullah, iaitu bagi orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. Barang siapa mengingkari (kewajipan) haji, maka ketahuilah bahawa Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam.
Prinsip istita‘ah atau kemampuan sebagai syarat wajib untuk menunaikan haji merangkumi pelbagai aspek, antaranya termasuklah kewangan (al-maliyah), kesihatan fizikal dan mental (al-badaniyah), keselamatan (al-amniyah) serta kemampuan keselamatan diri termasuklah mempunyai kenderaan, tiket kapal terbang dan kelulusan mendapatkan visa haji. Oleh itu, setiap individu perlu menilai dengan teliti keupayaan diri sebelum melangkah ke tanah suci.
Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-35 Musim Haji 1439 H /2018 M memutuskan bahawa istita‘ah ialah syarat utama untuk pelaksanaan haji. Konsep istita‘ah hendaklah dilihat dari semua sudut selaras dengan mafhum nas al-zad wa al-rahilah (ada bekalan dan keperluan), amn al-tariq (aman dalam perjalanan) dan juga tasrih (kuota dan visa kebenaran haji).
Ijtihad Bantuan Kewangan Haji
Walau apa-apa pun keputusan yang dibuat oleh TH sama ada meneruskan ataupun menamatkan atau menyamaratakan Bantuan Kewangan Haji, sudah pasti ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati. Secara umumnya, TH telah membuat pertimbangan sebaik-baiknya dengan mengambil kira semua aspek dan kemaslahatan menerusi ketetapan pengekalan kos haji seperti pada tahun lepas secara keseluruhan.
Dalam usaha meringankan kemampuan jemaah haji, kerajaan telah memperkenalkan Bantuan Kewangan Haji sejak tahun 2001. Hal ini selari dengan konsep ihsan dalam usaha meringankan sedikit keperluan dan persediaan melaksanakan rukun Islam ini. Ketika bantuan ini diperkenalkan, kos ini hanya merangkumi jumlah 10 peratus daripada keseluruhan kos untuk menunaikan haji, dan didapati bahawa kos pada tahun 2023 telah menjangkau sebanyak 64 peratus daripada keseluruhan kos haji bagi setiap individu.
Sebagai perbandingan, pada tahun 2013, kos haji hanya berjumlah RM15,555 dengan RM5,575 bantuan kewangan untuk setiap jemaah haji yang mencakupi RM95 juta secara keseluruhannya. Bagi musim haji tahun 2025, kos haji adalah sebanyak RM33,300 dengan jumlah bantuan kewangan mencecah RM261 juta. Setakat tahun 2001 hingga tahun 2024, Bantuan Kewangan Haji yang telah dikeluarkan berjumlah RM2.557 bilion.
Dalam keadaan kos dan kenaikan pelbagai perkhidmatan dan barangan, pihak TH masih mampu mengekalkan kos keseluruhan haji seperti pada tahun 2024, iaitu sebanyak RM33,300 seorang. Bantuan kewangan haji masih diteruskan, iaitu sebanyak 55 peratus bagi golongan B40 dan sebanyak 29 peratus bagi golongan M40. Sementara itu, golongan T20 kekal dengan kos haji muassasah sebanyak 100 peratus. Secara kesimpulannya, bayaran menunaikan haji masih rendah dan bersesuaian, iaitu bagi golongan B40 sebanyak RM15,000 (termasuklah bantuan Kerajaan Malaysia sebanyak RM1000), dan bagi golongan M40 sebanyak RM23,500, manakala golongan T20 kekal pada kadar RM33,300 seorang.
Sekiranya diteliti, kos haji Malaysia masih antara yang terbaik di dunia dengan pakej perkhidmatan yang lengkap dan menyeluruh. Kos haji ini merangkumi kos langsung seperti visa haji, sajian, takaful, bas, tiket penerbangan, penginapan, kidanah, pengendalian bagasi, perkhemahan masya’ir dan mutawif. Bukan itu sahaja, kos tidak langsung juga adalah signifikan dan hal ini termasuklah kaunseling, kursus haji, bimbingan, petugas haji dan perubatan.
Sekiranya dikira dan dipertimbangkan secara keseluruhannnya, sudah pasti kos haji yang dimuktamadkan oleh TH ini sangat berbaloi dan munasabah. Kualiti perkhidmatan yang ditawarkan juga adalah yang terbaik di dunia. Perkara ini diiktiraf sendiri oleh Kerajaan Arab Saudi menerusi Anugerah Labbaitom bagi kategori Kepuasan Tertinggi dalam Perkhidmatan yang disediakan oleh Pejabat Urusan Haji.
Ihsan, Ta‘awun dan Beramal
Bantuan Kewangan Haji ini pastinya memberikan manfaat kepada banyak jemaah haji. Kesemua pendeposit TH telah menyumbang dan secara tidak langsung keuntungan menerusi pelaburan dapat disalurkan untuk meringankan sedikit kemampuan jemaah haji khususnya golongan B40 dan M40. Hal ini menunjukkan bahawa konsep ta‘awun atau bantu-membantu pastinya memberikan pahala dan ganjaran kepada semua pendeposit TH.
Ingin diingatkan bahawa menabung di TH bukanlah untuk menikmati dividen semata-mata. Sambil menikmati dividen pada setiap tahun, pendeposit TH sebenarnya telah beramal dan mempunyai saham di akhirat dengan menyumbang kepada keuntungan yang disalurkan antaranya termasuklah untuk Bantuan Kewangan Haji. Pendeposit TH bukan sahaja mendapat khidmat kewajipan zakat malahan dapat bersama-sama pendeposit yang lain berta‘awun dan secara tidak langsung meringankan sedikit kos kewangan pihak yang memerlukan untuk menunaikan haji.
Waspada terhadap Penipuan Pakej Haji
Keinginan yang mendalam untuk menunaikan haji perlu diseimbangkan dengan kemampuan serta dilakukan secara berhati-hati. Pada setiap tahun, ada sahaja pihak yang mengambil kesempatan melalui penipuan pakej haji. Pelbagai langkah telah dilakukan oleh kerajaan termasuklah kerjasama dengan pihak berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Pada masa yang sama, TH telah melantik dan memberikan lesen tahunan kepada syarikat pelancongan tempatan yang berwibawa termasuklah Tabung Haji Travel & Services sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH). TH sentiasa mengingatkan orang awam agar memilih PJH berlesen untuk membendung penipuan pakej haji. Syarikat tidak berlesen yang menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji boleh melanggar Seksyen 27 Akta Tabung Haji 1995. Bukan itu sahaja, mana-mana individu atau syarikat tersebut juga boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes jenayah penipuan.
Perlu diingatkan juga bahawa Kerajaan Arab Saudi melalui Dewan Ulama Tertinggi telah mengeluarkan hukum yang menetapkan mana-mana jemaah haji yang datang menunaikan haji tanpa proses atau peraturan yang betul adalah haram dan berdosa. Oleh itu, bakal jemaah haji dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan hanya mendaftar dan menggunakan khidmat agensi yang sah dan diiktiraf oleh TH. Ketelusan dan integriti merupakan aspek penting yang perlu dipastikan untuk mengelakkan sebarang kerugian harta dan keselamatan diri.
Persediaan Haji menerusi Aktiviti Keilmuan
Di samping keterujaan akan giliran menunaikan haji dengan persiapan yang telah dirancang, ibadat haji menuntut persediaan yang komprehensif, bukan hanya dari segi kewangan, tetapi juga kesihatan fizikal, kestabilan mental dan penguasaan ilmu. Persiapan haji mesti diiringi dengan persiapan ilmu sebaik-baiknya. Memahami maqasid haji dan menghayati pensyariatannya ialah sesuatu yang perlu ditekankan kepada semua jemaah haji.
Selain menelaah buku Manasik al-Haj wa al-‘Umrah, penulis ingin mengajak umat Islam untuk membaca karya seperti Haj oleh Ali Shariati, Road to Mecca oleh Muhammad Asad dan Surat Malcolm X daripada Mekah. Begitu juga buku lain tentang sirah Rasulullah SAW seperti Atlas on the Prophets Biography: Places, Nations and Landmarks oleh Shawqi Abu Khalil dan karya Safiur Rahman al-Mubarakpuri yang berjudul al-Rahiq al-Makhtum. Terdapat banyak lagi karya yang bermanfaat untuk ditelaah dan ditekuni bagi memperkukuh persiapan haji dengan hal yang berkaitan dengan keilmuan.
Realiti dan keadaan semasa menuntut kerajaan untuk membuat pertimbangan tentang haji sebaik-baiknya demi kemaslahatan semua pihak. Keputusan yang dibuat telah pun mengambil kira semua aspek dan faktor yang berkenaan pada waktu ini. Sekiranya terdapat keperluan pada masa hadapan, sudah pasti perhitungan dan pertimbangan lain boleh dibuat mengikut kesesuaian dan kemaslahatan.
Segala pandangan serta idea baharu dan bernas juga amat dialu-alukan untuk menambah baik perkhidmatan dan pengurusan haji di Malaysia.
Haji ialah ibadat yang lebih daripada sekadar ritual dan merupakan proses transformasi diri. Dengan persiapan rapi, keikhlasan dan penghayatan yang mendalam, ibadat haji menjadi madrasah kerohanian yang mendidik insan untuk kembali kepada fitrah asal.
Ibadat haji menyeru umat Islam agar sentiasa memperbaik diri, menghayati erti persaudaraan dan memperkukuh hubungan dengan Allah SWT serta sesama manusia. Semoga kita direzekikan oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya, dan semoga duyuf al-Rahman yang bakal berangkat nanti beroleh haji mabrur dan dipermudah segala urusan.
Yang Berhormat Senator Dr. Zulkifli Hasan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).