Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJohor Bahru – Kumpulan Nasyid Alhanul Iman yang mewakili Pasir Gudang unggul sebagai juara di Pentas Nasyid Semarak Islam Pendidikan Khas yang dianjurkan sempena Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor (KOIKJ), baru-baru ini.
Pengerusi Teknik Semarak Islam Pasir Gudang, Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi menjelaskan bahawa kejayaan ini membuktikan bahawa murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) mempunyai potensi yang besar untuk tampil cemerlang dan mencipta prestasi di peringkat yang tinggi.
“Penganjuran karnival semarak Islam dalam KOIKJ membuka mata masyarakat untuk melihat potensi MBPK untuk bersaing cemerlang di pentas yang besar.
“Ini juga mampu memberikan suntikan semangat buat mereka untuk terus berusaha menggapai kegemilangan yang lebih besar dan luas,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan pertandingan nasyid tersebut. Katanya,
Terima kasih kepada Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang yang sentiasa membantu menguruskan perjalanan nasyid MBPK sekali gus jutaan terima kasih kepada SMK Kota Masai, SMK Pasir Gudang 2 dan SK Bandar Seri Alam yang menyediakan ruang latihan dan kepakaran jurulatih untuk mempersiapkan pasukan untuk memberikan persembahan yang mantap. Tidak lupa juga kepada semua ibu bapa dan sokongan padu barisan guru serta komuniti yang bersama dengan kami untuk bersaing di pentas ini.
Sementara itu, naib juara disandang oleh kumpulan Shoutul Amsyar mewakili daerah Tangkak manakala tempat ketiga disandang oleh Kumpulan Soutul Aman dari daerah Kulai.
Selain itu, Kumpulan Nasyid Al-Afham (Pasir Gudang) akur di tempat ketiga bagi kategori sekolah rendah apabila Kumpulan Misbahul Munir (Johor Bahru) unggul di tempat kedua dan Kumpulan Shoutul Najah (Kulai) cemerlang Juara Nasyid Kategori Sekolah Rendah.
KOIKJ 2024 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Johor berlangsung pada 26-27 Ogos 2024 bertempat di Toppen Johor Bahru.
Tidak hanya nasyid, banyak lagi acara yang dipertandingkan yang melibatkan sukan dan permainan, kemahiran, kesenian serta pameran yang mengetengahkan kecemerlangan dan kemenjadian MBPK.