Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Dalam usaha untuk membudayakan penghayatan al-Quran dalam kalangan rakyat Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta agensi yang bernaung di bawahnya memperluaskan pelaksanaan program bacaan al-Quran dan terjemahannya pada setiap pagi di masjid seluruh negeri ini.

Demikian titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang dikeluarkan oleh MAIPs, selepas baginda berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan Sumbangan Agihan Zakat MAIPs di Masjid As-Sakinah, Padang Melangit baru-baru ini.

“Al-Quran merupakan mukjizat agung dan kemuliaan daripada Allah SWT.

“Hanya hamba-Nya yang terpilih sahaja akan beroleh hidayah dengan menuruti ajaran al-Quran.

“Oleh itu, kita hendaklah bersyukur kerana direzekikan keberuntungan menjadi umat Nabi Muhammad SAW, rasul yang mengajarkan al-Quran,” titah baginda.

Pada majlis yang sama, MAIPs menyumbang wang tunai sebanyak RM700 kepada setiap asnaf yang terpilih untuk meringankan beban mereka dan memastikan mereka dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik.

Sumbangan tersebut melibatkan 70 orang penerima daripada kariah Padang Melangit dan 70 orang daripada kariah Kampung Belukar, dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM98,000.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MAIPs untuk memperkasakan komuniti dan memastikan setiap individu, khususnya golongan asnaf, mendapat sokongan yang mereka perlukan.

Hadir mengiringi baginda tuanku dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.