Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangShah Alam – Forum Bulugh al-Maram anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menampilkan dua tokoh dalam mengupas isu “Zakat dan Puasa” di Surau al-Ittihadiyyah, Seksyen 9 pada petang tadi.
YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP sebagai panel pertama memulakan sesi dengan menceritakan hikmah dan kelebihan bulan Ramadan yang tidak terdapat dalam bulan-bulan yang lain.
“Allah SWT telah menjanjikan setiap malam ada pengampunan dan kelebihan yang akan diperoleh oleh setiap insan.
“Dengan mendirikan solat tarawih dan menutupnya dengan solat witir, setiap insan akan mendapat pahala seperti mana mereka bangun mengerjakan qiamullail,” ujar beliau dalam sesi tersebut.
Seterusnya, beliau mengulas dengan lebih lanjut bahawa akan terselit ujian dan cabaran yang dihadapi oleh setiap orang yang berpuasa, iaitu diri akan lesu, malas serta sibuk dengan dunia hingga lalai melakukan perkara yang baik dan semua ini sebenarnya adalah ujian dalam menguji kesabaran kita beribadah dalam bulan yang mulia ini.
Menuju 10 malam terakhir, seharusnya diri kita sibuk melakukan ibadah, bukannya melakukan persiapan raya secara berlebihan.
Panel kedua YBrs. Ustaz Sulaiman Nuba, Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam melanjutkan sesi forum dengan menjelaskan kewajipan membayar zakat fitrah.
“Zakat Fitrah adalah zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan Muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat tertentu”.
Beliau mengulas bahawa syarat-syarat wajib bagi menunaikan zakat fitrah dan terdapat waktu yang telah ditetapkan, yakni sepanjang bulan Ramadan sehinggalah pada pagi 1 Syawal sebelum melaksanakan solat sunat hari raya.
Sebelum forum bermula, Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari telah mendeklamasikan beberapa buah puisi pilihannya dan turut diadakan pertandingan mewarna yang memeriahkan lagi aktiviti di surau.
Program ini turut dihadiri oleh YBrs, Tuan Haji Md. Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP; YBhg Dato’ Ts. Kamel Mohamad, Pengerusi Surau al-Ittihadiyyah Seksyen 9; Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan; Puan Huznah Sa’it, Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja; dan para pegawai DBP.