15 Mac 2024, 16:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa ajaran Ahmadi yang kini giat disebarkan secara dalam talian adalah sesat dan jelas bercanggah dengan Islam.

Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, ajaran sesat tersebut tiada kaitan dengan ajaran Islam walaupun kandungannya banyak memetik ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

“‘The Ahmadi Religion Peace and Light’ atau ‘Ahmadi Agama Keamanan dan Cahaya’ diketuai oleh individu yang menggunakan gelaran Abdullah Hashem Aba al- Sadiq yang mengakui dirinya ialah Imam Mahdi.

“Ajaran sesat ini aktif melakukan pelbagai platform media sosial namun mereka menjadi agak popular melalui penstriman langsung di platform TikTok,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kebimbangan tercetus kerana akaun Tiktok tersebut mempunyai lebih daripada 30 000 orang pengikut dan mempunyai jumlah penonton yang banyak apabila mereka melakukan penstriman selain menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi.

Katanya lagi, saluran di aplikasi YouTube The Ahmadi Religion of Peace and Light (AROPL) juga didapati mempunyai sebanyak 24 300 orang pengikut dan 275 video.

Dr. Mohamed Azam berkata, ajaran ini menyeru orang ramai agar turut menjadi pengikut Imam Mahdi dan pemimpin Imam Mahdi yang didakwa telah muncul masa kini.

Tambahnya lagi, “Mereka juga mempercayai penjelmaan semula (reincarnation), juga mempercayai bahawa utusan utusan tuhan itu terdiri daripada pelbagai manusia yang hebat daripada pelbagai agama seperti Nabi Ibrahim, Krishna, Zoroaster, Buddha, Zeus, Moses, Aristotle ,Socrates, Pythagoras, Plato, Nabi Isa and Nabi Muhammad SAW.”

“Falsafah dan konsep ajaran ini jelas mengandungi banyak percanggahan dengan ajaran Islam, dan bersifat plularisme agama.

“Orang yang memiliki ilmu pengetahuan ajaran Islam pasti menyedari ajaran ini jelas menyalahi ajaran Islam yang sebenar,” jelas beliau.

Beliau memaklumkan, sebagai inisiatif bagi membantu pembendungan ajaran sesat tersebut, IKIM akan menggunakan semua saluran dan platform seperti Radio IKIM, TVIKIM, media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok dan sebagainya bagi memberikan kefahaman yang jelas kepada masyarakat dan menyedarkan masyarakat awam betapa bahayanya ajaran sesat berkenaan sekiranya menular.

Tambahnya, IKIM juga akan menghasilkan penulisan oleh pegawai penyelidik dan para felow yang akan diterbitkan dalam akhbar perdana dan laman web IKIM bagi memberikan kefahaman yang sebenar kepada masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.