Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGombak – Penyertaan mahasiswa dalam IIUM Musabaqah Tilawah al-Quran 2.0 baru-baru ini amat memberangsangkan dengan pelibatan pelajar dari pelbagai institusi pengajian tinggi.
Antaranya termasuklah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi MARA, Universiti Islam Selangor, Universiti Teknologi PETRONAS, Darul Quran, Kolej Islam Antarabangsa.
Penganjuran yang buat kali kedua oleh Mahallah Sumayyah dan Mahallah Bilal, UIAM ini menghidupkan medan taranum dalam kalangan mahasiswa.
Pengarah Program, saudari Athirah Alya menegaskan bahawa program sebegini menggalakkan mahasiswa membaca al-Quran mengikut lunas bacaan yang betul.
“Mahasiswa berpeluang mendapatkan pendedahan yang sewajarnya menerusi pelibatan mereka dalam usaha melahirkan generasi bijak dan celik al-Quran,” katanya.
Menurut beliau lagi, musabaqah tersebut merupakan satu daripada sembilan pengisian Ramadan UIAM di bawah program Man Jadda Wajada.
Dalam program yang disokong oleh Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (Tijari), Jabatan Agama Islam Selangor tersebut, dua orang pensyarah Bahagian Tilawah, Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra-Universiti (CELPAD), UIAM dilantik untuk menjadi juri pertandingan ini.
Mereka ialah Ustaz Muhammad dan Ustaz Mujahid Ahmad Lutfi, masing-masing mengadili bahagian taranum dan suara, serta tajwid dan kefasihan (fasohah).
Mengulas mengenai mutu pertandingan pada tahun ini, panel hakim mengakui bahawa kualiti bacaan jauh lebih baik dari tahun sebelumnya, malah agak sukar membuat keputusan kerana margin markah sangat kecil.
Pada musabaqah tersebut, saudara Zakiuddin, penuntut ijazah sarjana Universiti Islam Selangor dan saudari Nur Busyra dari UIAM telah dinobatkan sebagai johan qari dan qariah.
Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai sebanyak RM300, piala iringan dan sijil kemenangan.